Oleh Malaysia Good News

PENGHARAMAN Huawei oleh Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghalang Malaysia untuk menggunakan teknologi yang dibangunkan syarikat gergasi China itu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia anjuran Nikkei Inc di Tokyo, semalam, beliau berkata akan memastikan teknologi Huawei digunakan sebanyak mungkin.

Sokongan yang diberikan secara terbuka oleh Perdana Menteri itu di sebalik pengharaman dan sekatan yang dilakukan pentadbiran Presiden Donald Trump juga bermakna rakyat Malaysia akan berpeluang menikmati teknologi 5G yang dibangunkan oleh Huawei.

Gambar fb @TunDrMahathir

“Pasaran di Malaysia terlampau kecil untuk mempunyai kesan ke atas Huawei yang diketahui mempunyai penyelidikan dan pembangunan jauh lebih besar berbanding negara kami,” kata Dr Mahathir, memetik laporan media. “Jadi, kami akan cuba menggunakan teknologi mereka sebaik mungkin.”

Pencapaian Huawei, menurutnya menunjukkan Amerika tidak akan menjadi kuasa utama dunia atau mempunyai teknologi terbaik untuk selama-lamanya disebabkan persaingan kini makin sengit.

Dr Mahathir, pada sesi yang dikendalikan Ketua Pengarang, Ibu Pejabat Pengarang Nikkei Osaka, Sonoko Watanabe, juga dilaporkan berkata, beliau tidak bimbang dengan tuduhan berlaku kegiatan pengintipan kerana “kami bersikap terbuka.”

Biarpun, katanya mungkin benar dakwaan berlaku pengintipan, “tetapi untuk Malaysia,apa yang nak diintipkan pun?”

Sambil berseloroh, beliau berkata: “Kalau ada pihak nak jajah, kami tak melawan. Buang masa.”

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa Amerika agar menyelesaikan segera perbalahan dengan China, termasuk berhubung dalam hal membabitkan Huawei Technologies bagi mengelak kemungkinan membawa kepada konflik ketenteraan.

AS, menurutnya perlu menerima kenyataan bahawa Huawei kini mendahului produk mereka daripada segi keupayaan penyelidikan dan pembangunannya.

Jelasnya, negara Uncle Sam itu perlu menjadi menjadi lebih kompetitif, bukan dengan cara mengharamkan penjualan barangan Huawei atau menyiasat syarikat dan negara yang didakwa bersekongkol dengan produk itu sehingga mahu menghantar kapal perang.

“Jika kami tidak berada di hadapan, kami akan mengharamkan anda. Kami akan mengirim kapal perang – itu bukan persaingan,” kata Dr Mahathir, seraya menambah, “Itu adalah ugutan.”