Oleh Malaysia Good News

GAJI pekerja boleh dipertingkatkan sehingga 20 peratus sekiranya mereka diberi peluang untuk menjalani latihan di institusi-institusi PendidikanTeknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Ini kerana, katanya latihan yang disediakan TVET dilihat mampu melahirkan pekerja berkemahiran, selain memahirkan lagi pekerja yang sedia mahir.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan Rancangan Malaysia ke11 (RMK11) bagi meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi di kalangan rakyat Malaysia, daripada 28 peratus kepada 35 peratus menjelang tahun 2020.

“Sekiranya setiap pekerja di negara ini merupakan di kalangan mereka yang berkemahiran, walaupun seorang penjaga bangunan, mereka boleh mendapatkan pendapatan yang lebih baik.

“Jika Singapura boleh melaksanakannya, tidak ada alasan mengapa kita tidak boleh berbuat sama,” katanya, memetik laporan media, semalam, merujuk saranannya sebelum ini agar latihan diadakan selepas waktu bekerja, bermula jam 5.30 petang hingga jam 11 malam dan diperluaskan pada hujung minggu dan hari kelepasan am.

Latihan ketika ini, diadakan pada waktu bekerja iaitu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

M Kulasegaran. Gambar : @mkula

Kulasegaran berkata, kerajaan sedang meneliti rancangan bagi membolehkan pekerja-pekerja industri mendapatkan latihan, terutama bagi majikan yang yang berbelah bagi untuk melepaskan pekerja mereka yang dibimbangi akan meninggalkan pekerjaan sedia ada.

“Kita perlu ada penyelesaian yang memberi manfaat kepada kedua-dia pihak. Kita perlu ada perancangan lebih baik, di mana pekerja mempunyai hak untuk menjalani latihan,” katanya, antaranya mencadangkan majikan dan pekerja menandatangani perjanjian yang mengikat pekerja pada tempoh tertentu sebaik tamat latihan.

“Bagi majikan, adalah satu perkara yang menyedihkan apabila pekerja berhenti selepas dihantar menjalani latihan. Ia akan menjejaskan perniagaan, jadi mereka perlu boleh menahan pekerja itu untuk tempoh tertentu.”

Cadangan lain, menurutnya termasuk pemberian insentif-insentif kepada pekerja untuk belajar dan menambah kemahiran mereka.