Oleh Malaysia Good News

EXORA, model kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran Proton memasuki pasaran 2019 dengan wajah baru dan dijual pada harga yang lebih rendah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong.

Harga bagi Exora 1.6T Premium tidak termasuk insurans dan cukai jalan, menurutnya ditetapkan pada harga RM66,800, manakala Executive 1.6CVT serendah RM59,800.

Katanya, kedua-dua model berkenaan menampilkan pembaharuan pada sistem maklumat hibur menyamai model Proton X70, Persona 2019 dan Iriz 2019, selain diberi penambahbaikan dalam reka bentuk untuk tampak lebih sportif.

“Ini membabitkan pengurangan sebanyak RM2,547,” katanya, memetik kenyataan media pada pelancaran model berkenaan di Subang, semalam.

Selain pengurangan daripada segi harga, menurutnya Proton juga menawarkan kadar faedah pinjaman rendah iaitu sebanyak 2.76 peratus, setahun bersama pakej perlindungan insurans percuma, merangkumi pelbagai aspek.

Jelasnya, selain itu, setiap pembelian model berkenaan juga disertakan bersama pakej selama lima tahun dengan pilihan percuma upah pekerja atau pakej data internet 1 gigabait (GB) percuma, sebulan sepanjang tempoh itu.

Dr Li, ketika menghuraikan lanjut mengenai pembaharuan yang dilakukan kepada model Exora 2019,  sistem maklumat hiburnya memaparkan ciri-ciri seperti monitor tujuh inci dengan fungsi pencerminan, manakala unit stereo pintar (IHU) dilengkapi kad eSIM yang dibina di dalam bagi penstriman muzik, navigasi dengan peranti android bagi kedua-duanya.

Tambahnya, kemas kini over the air (OTA) juga ditawarkan secara berkala jika terdapat aplikasi-aplikasi baharu diperkenalkan dalam memastikan perisian itu kekal terkini.

Daripada segi reka bentuk, katanya bahagian luarnya menampilkan antena sirip ikan yang dipadan dengan panel bumbung luar hitam, manakala dalamannya diberikan upholsteri baharu, dilengkapi sentuhan mewah dan meningkatkan keselesaan tempat duduk.

Ia juga disertakan kombinasi meter pintar baharu yang memaparkan maklumat penting dengan pantas.

Model berwajah baru ini juga dilengkapi cermin pandang belakang tanpa bingkai yang berupaya memberikan pandangan lebih luas, selain keluasan ruang dalaman kekal sebagai titik jualan utama memandangkan hanya model ini menawarkan ruang untuk tujuh pengguna dewasa.

Dr Li berkata, Proton juga menawarkan pakej nilai tambahan istimewa bagi pembelian, tahun ini, antaranya cukai jalan secara percuma selama dua tahun kepada 1,000 pembeli pertamanya bagi pembeli persendirian, manakala korporat, percuma setahun.

“Pelanggan yang membeli Exora 2019 pada tahun ini akan menerima pakej servis pekerja percuma selama lima tahun atau 11 kali. Seribu pembeli yang pertama akan menerima cukai jalan secara percuma selama dua tahun bagi pembeli persendirian dan percuma cukai jalan selama setahun bagi pelanggan korporat,” katanya.

Nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan ini, katanya dan ditambah dengan pengurangan harga bagi setiap model Exora 2019 ini membolehkan pembeli versi Exora 1.6T Executive menerima nilai tambahan sebanyak RM4,233, manakala 1.6T Premium mendapat penjimatan bernilai RM5,652.