Oleh Malaysia Good News

SEBANYAK 100 unit kenderaan elektrik yang ditampilkan Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, selewat-lewatnya Ogos ini bakal menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang memperkenalkan khidmat teksi elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsubahrin Ismail, berkata langkah yang diambil Big Blue itu dijangka mencetuskan perubahan dalam industri teksi dan kereta sewa negara yang sedang berdepan isu mengenai dominasi perkhidmatan e-hailing.

Sepatutnya dilancarkan pada Mei lalu, menurutnya perancangan itu terpaksa ditangguh berikutan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi, antaranya faktor teknikal seperti mendapatkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (ATV) yang memerlukan kordinasi antara pencipta, pengeluar dan kerajaan.

“Kami juga dalam usaha menandatangani kontrak dengan syarikat tempatan untuk proses pemasangan kenderaan ini.

“Jika berjaya, kami menjangkakan 5,000 unit teksi bagi pengeluaran pertama ini,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemandu teksi Big Blue di ibukota, semalam.

Ini apa yang anda perlu ketahui mengenai perkhidmatan Big Blue Taxi:

  • Big Blue Taxi menampilkan kenderaan elektrik yang digelar Zeno
  • Sebanyak 100 unit akan dilancarkan sama ada pada Julai atau Ogos ini
  • Perkhidmatan Big Blue Taxi ini menjadikan Malaysia negara pertama di dunia menggunakan teksi elektrik
  • Kenderaan itu mempunyai empat segmen pilihan, iaitu kompak, salon, SUV dan MPV
  • Sehingga 5,000 unit kenderaan seumpamanya dijangka dikeluarkan Big Blue Capital (M) Sdn Bhd bagi membolehkan Big Blue Taxi beroperasi sepenuhnya
  • Pengeluaran kenderaan elekrik ini merupakan kerjasama antara Malaysia dan China, membabitkan syarikat terbesar teknologi kereta elektrik terkenal dunia yang menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik
  • Teksi dilengkapi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), kamera papan pemuka dan juga butang kecemasan yang berhubung terus kepada pihak keselamatan
  • Big Blue Taxi menawarkan beberapa manfaat kepada penggunanya, antaranya diberi perlindungan insurans
  • Perkhidmatan ini juga memperkenalkan token untuk pengguna mendapatkan potongan harga bagi penggunaan seterusnya
  • Operasi, pada peringkat ini, akan bertumpu di bandar besar iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuantan, selain Pulau Langkawi, antara destinasi pelancongan popular di Semenanjung Malaysia
  • Sistem kaunter layan diri Big Blue Teksi juga akan diperkenalkan bagi memudahkan pengguna menempah perkhidmatan
  • Kaunter layan diri akan diletak di kawasan tumpuan awam termasuk di hotel, kawasan pelancongan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
  • Perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad Malaysia (MAHB) sedang dibuat bagi mewujudkan kawasan khas kaunter di KLIA dengan cadangan pemasangan antara 100 dan 200 unit kaunter di situ