Oleh Malaysia Good News

MAJIKAN disaran memberi pelepasan kepada pekerja mereka yang ingin mengikuti latihan industri yang bakal diperkenalkan Institut Latihan Perindustrian (ILP) tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Latihan yang bertujuan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan itu, menurutnya dibuka kepada semua pekerja industri dengan kursus diberikan percuma kepada kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

Oleh itu, katanya pekerja yang berminat diharap tidak akan berdepan masalah untuk mendapatkan kebenaran majikan memandangkan latihan akan diadakan selepas waktu bekerja, bermula jam 5.30 petang hingga jam 11 malam dan diperluaskan pada hujung minggu dan hari kelepasan am.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan Rancangan Malaysia ke11 (RMK11) bagi meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

“Saya berharap majikan memberi kebenaran dan pelepasan kepada pekerja mereka mengikuti latihan industri ini untuk meningkatkan kemahiran kerja,” katanya selepas menghadiri majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengelola-pengelola Sekolah Cina (Dong Zong) dan Kementerian Sumber Manusia di Kolej Universiti New Era di Kajang, semalam.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. Gambar : @kulasegaran

“Kita yakin latihan perindustrian ini mampu meningkatkan kemahiran pekerja kerana ketika ini, hanya 28 peratus rakyat tergolong tenaga kerja berkemahiran tinggi. Kita bersungguh-sungguh meningkatkan peratusan berkenaan kepada 35 peratus sebagaimana Rancangan Malaysia ke11.”

ILP yang merupakan sebuah institusi kemahiran di bawah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia menawarkan pelbagai kursus seperti teknologi mekanik industri , teknologi reka bentuk produk industri, teknologi automotif dan teknologi pembuatan (perkakasan), daripada peringkat sijil hingga diploma.

Buat masa ini, ada sebanyak 32 ILP beroperasi di seluruh negara.

Pada masa sama, Kulasegaran juga berharap golongan belia mempertimbangkan latihan dalam bidang PendidikanTeknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan menyambung pengajian kerana potensi untuk diterima bekerja selepas tamat latihan.

Ia, katanya sesuai dengan hasrat kerajaan supaya TVET di Malaysia dapat dikembangkan setaraf negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.