Oleh Malaysia Good News

KERAJAAN Negeri Sabah mengumumkan peruntukkan berjumlah RM10.5 juta bagi pembayaran bonus Hari Raya Aidilfitri untuk lebih 21,000 penjawat awamnya, menjadikannya negeri dengan bajet tertinggi, sehingga kini.

Ketua Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal, menerusi satu kenyataannya di Kota Kinabalu, semalam memberitahu semua penjawat awam yang layak akan menerima bayaran RM500 dalam tempoh dua minggu ini.

Sabah adalah negeri terbaru mengumumkan pemberian bonus Raya kepada penjawat awamnya, selepas Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Kedah.

Beliau berkata, pemberian bonus berkenaan diharap dapat meringkan beban kewangan, selain sebagai persiapan bagi penjawat awamnya yang bakal meraikan Lebaran, awal bulan depan.

“Kami memutuskan untuk memberi bonus Raya ini selepas penilaian dibuat ke atas akaun semasa negeri dengan mengambil kira jumlah pinjaman yang harus dijelaskan oleh Kerajaan Negeri,” katanya selepas penyampaian sumbangan Raya kepada pihak keselamatan.

Sambil mengiktiraf pengorbanan yang dilakukan oleh pihak keselamatan dalam menjaga keamanan Sabah, Shafie berkata, sumbangan kuih Raya berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang dilakukan selama ini.

“Kita berharap semua orang dapat memainkan peranan dalam membantu menjaga keselamatan negeri kita daripada sebarang elemen jenayah,” tambahnya.