Oleh Malaysia Good News | Gambar fb @ChowKonYeow

CAJ melampau bukan lagi isu apabila 500 pemandu teksi di Pulau Pinang kini sudah mula beroperasi menggunakan aplikasi cALLme Cab yang mempunyai fungi sama seperti Grab, kata Presiden Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri.

Jumlah itu, menurutnya merupakan sebahagian daripada lebih 2,000 pemandu teksi berdaftar yang beroperasi di seluruh negeri berkenaan.

Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa untuk ahlinya menggunakan aplikasi itu bagi menyaingi Grab yang pada masa ini merupakan pendahulu dalam sektor perkhidmatan e-hailing.

“cALLme Cab berfungsi sepertimana aplikasi Grab, di mana pelanggan akan menerima maklumat seperti anggaran tambang dan dijelaskan mengikut tambang yang dipaparkan, iaitu hanya setelah pelanggan tiba di destinasi.

“Jadi, pelanggan tidak perlu bimbang dikenakan caj melampau atau terpaksa tawar menawar dengan pemandu mengenai tambang sepertimana yang berlaku dulu,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi cALLme Cab di Georgetown, semalam yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Aplikasi berkenaan pertama kali dilancarkan di Lembah Klang pada Disember, tahun lalu. bagi tujuan pergi balik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum digantung sementara menantikan isu teknikal dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) diselesaikan.

Sejak adanya e-hailing, menurut Mohamad Shahimi pemandu teksi mengadu pendapatan mereka terjejas  sehingga 80 peratus.

“Kita ada lebih 2,000 pemandu teksi di Pulau Pinang, jadi kita berharap lebih ramai pemandu teksi mendaftar dan menggunakan aplikasi ini bagi menawarkan khidmat kepada pelanggan,” tambahnya, memetik laporan media.

Kata Mohamad Shahimi,  buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya boleh digunakan untuk perjalanan di sekitar Pulau Pinang, tetapi pihaknya berharap untuk memperluaskan cakupan operasi teksi sehingga ke Sungai Petani, Kedah kelak.

Sementara itu, Chow menyarankan golongan pemandu teksi supaya menawarkan harga yang lebih kompetitif dan keselesaan hampir menyamai syarikat e-hailing seperti Grab dalam usaha mendapatkan kembali sebahagian daripada pasaran.

Inisiatif pemandu teksi ini, menurutnya perlu dipuji kerana memanfaatkan teknologi melalui aplikasi seumpama Grab yang menyediakan sistem tambang telus dan kadar perjalanan yang berpatutan.

“Sebenarnya, berbanding Grab yang menggunakan kenderaan persendirian, teksi-teksi sudah diinsurankan, diberi lesen dan menjalani pemeriksaan ketat di Puspakom. Jadi, dengan kadar tambang menyamai Grab yang diberikan menerusi aplikasi cALLme Cab, jelaslah ia lebih baik daripada Grab,” katanya.