Oleh Malaysia Good News

PELAN pembangunan Kampung Baru perlu mengambil kira kepentingan warga tempatan, terutama penduduk tetapnya yang berdepan isu lambakan warga asing yang didapati memonopoli perniagaan di daerah berkenaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata isu berkenaan sudah terlalu lama berleluasa sehingga peluang pekerjaan untuk warga tempatan ikut terjejas, selain menyebabkan timbulnya pelbagai masalah sosial.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan membangkitkan isu berkenaan dalam perbincangan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan kelak.

Jelasnya, soal itu perlu diberi perhatian serius dan diselesaikan segera dalam merangka pelan pembangunan Kampung Baru yang adil kepada warga tempatan.

Gambar : @kplb_gov

“Perbincangan itu nanti supaya kita dapat bangunkan Kampung Baru ini dengan lebih tersusun dan teratur, serta tidak mengasingkan hak warga tempatan terutama dalam usaha kita menghapuskan monopoli perniagaan oleh warga asing di sini serta menangani masalah sosial.” katanya selepas majlis sumbangan Kasih Ramadan di Kuala Lumpur, semalam.

Seramai 50 orang asnaf di sekitar Kampung Baru telah menerima bantuan wang tunai dan keperluan asas sempena Ramadan. Mereka adalah antara penerima di bawah program bagi tujuan membantu sekurang-kurangnya 1,000 asnaf di enam sub zon di bawah Parlimen Titiwangsa.

Memetik laporan media, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata monopoli peniaga warga asing tidak sepatutnya berlaku kerana golongan itu hanya dibenarkan bekerja dalam sektor atau industri yang dibenarkan.

“Sepatutnya warga asing ini hanya boleh dibenarkan bekerja di dalam sektor atau industri tertentu sahaja dan bukan semuanya. Ini supaya kita boleh beri peluang pekerjaan yang lebih adil kepada rakyat kita sendiri, terutama kepada penduduk tetap Kampung Baru,” katanya.