Oleh Malaysia Good News

SINGAPURA, antara contoh dalam pelaksanaan pemberian insentif kepada syarikat korporat dalam mewujudkan peluang pekerjaan, sekaligus mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, semenjak pelaksanaan polisi berkenaan ia berjaya membantu republik berkenaan menarik pelaburan daripada syarikat antarabangsa.

Cadangan itu, katanya antara yang dikemukakannya kepada kerajaan dan kini, dalam penelitian Kementerian Kewangan.

Jelasnya, ia adalah salah satu cara yang disifatkannya sebagai usaha membantu graduan menjalani kehidupan lebih baik, selain menyelesaikan isu berkaitan pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN).

“Di dalam ucapan saya pada sambutan Hari Belia Kebangsaan lalu, saya menekankan mengenai keperluan untuk memperkenalkan polisi berhubung insentif pendapatan atau suplemen pendapatan di kalangan graduan,” katanya.

“Daripada bantuan wang tunai seperti BR1M, kita sepatutnya memberi insentif pendapatan kepada sektor  korporat supaya menggaji graduan yang menganggur untuk bekerja dengan sebahagian gaji ditanggung kerajaan.

“Dasar itu sudah dilakukan Singapura dan ia berjaya dilaksanakan.

“Polisi itu membantu Singapura menarik pelaburan daripada syarikat antarabangsa seperti Dyson sejak negara itu melaksanakan polisi berhubung pemberian insentif pendapatan itu dan ia berupaya membuka peluang pekerjaan kepada graduan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional).”

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar : @syedsaddiq

Syed Saddiq berkata demikian  selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TV3 Grand Bazar Ramadan Raya 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau juga merujuk laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berhubung isu tangga gaji pekerja di Malaysia yang didapati masih tidak berubah berikutan kadar inflasi negara.

“Persoalannya apa yang boleh dilakukan?” katanya yang kemudian membawa kepada cadangan bagi pelaksanaan polisi pemberian insentif kepada sektor korporat yang kini rancak dibincangkan, namun keputusan akhir masih bergantung kepada Kabinet.

“Kita tunggu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membuat pengumuman,” katanya.

Buat masa ini, jelasnya sejumlah setengah juta belia didapati menganggur, termasuk 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa graduan yang didapati gagal membayar balik hutang PTPN sebagai golongan tidak bertanggungjawab yang lebih mementingkan gaya hidup mewah berbanding tanggungjawab melangsaikan hutang.