Oleh Malaysia Good News | Gambar @Jab.PerdanaMenteri

KERAJAAN telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM855 juta menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada lebih 2 juta penjawat awam dan pesara sebagai persediaan untuk golongan berkenaan menyambut Aidilftri.

Pejabat Perdana Menteri, menerusi satu kenyataan, semalam mengumumkan keputusan kerajaan berhubung pemberian bonus Raya berjumlah RM450 kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah.

Turut disenarai, menurut kenyataan itu lagi, adalah 800,000 pesara yang bakal menerima RM225 sebagai menghargai jasa perkhidmatan golongan berkenaan.

“Bantuan khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 0.8 juta pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM225.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 24 Mei ini,” memetik kenyataan itu.

Pengumuman itu dibuat menyusuli kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi sebelumnya, mengenai persetujuan kerajaan untuk memberi bonus sempena Raya kepada penjawat awam dan pesara.

Beliau ketika itu, bagaimanapun tidak menyebut mengenai jumlah atau tarikah bayaran akan dibuat.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini, memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus Raya RM1,000 kepada penjawat awam bagi Gred 54 dan ke bawah, manakala RM500 untuk golongan pesara.

Presidennya, Datuk Azih Muda, dalam kenyataannya kepada media, memberitahu perbincangan sudah dibuat dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan ia menjadi kenyataan, malah surat juga telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.