Oleh Malaysia Good News

MALAYSIA jadi negara pertama di Asia Tenggara dan keempat di dunia yang mengguna pakai teknologi robotik Jepun dengan memperkenalkan 24 sut Hybrid Assistive Limb (HAL)  bagi rawatan pemulihan kecederaan pesakit.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata teknologi itu membolehkan kerajaan membantu pesakit, khususnya pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pulih daripada kecederaan dengan lebih pantas.

Menurutnya, teknologi yang lebih dulu dimanfaatkan Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman itu akan diterapkan menerusi kaedah dalam rawatan pemulihan bagi membantu pesakit lumpuh, kemalangan dan masalah saraf.

Sehingga kini, katanya, sejumlah AS$200,000 atau kira-kira RM832,775 telah dibelanjakan PERKESO bagi menempatkan teknologi termaju robotik dari Cyberdyne Inc Japan itu di Pusat SOCSO Neuro-Robotics Rehablitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Ayer Keroh, Melaka.

“PERKESO membelanjakan AS$200,000 (RM832,775) bagi penubuhan Pusat SOCSO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Ayer Keroh sejak November tahun lalu dan kini mempunyai 24 sut robot HAL bagi kemudahan rawatan pesakit.

Gambar : fb @kulasegaran

“Kita percaya teknologi perubatan menerusi kaedah sut robot HAL ini dapat membantu pesakit lumpuh, kemalangan dan masalah saraf pulih dengan lebih cepat berbanding kaedah rawatan lain,” katanya, memetik laporan media selepas merasmikan Pusat SOCSO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics, hari ini.

Kulasegaran berkata, sehingga kini seramai 100 pencarum sudah memanfaatkan kemudahan di pusat berkenaan sejak ia dibuka, akhir tahun lalu dengan tempoh menunggu bagi pesakit kira-kira tiga bulan, seorang.

Sehubungan itu, katanya PERKESO digesa melanjutkan operasi di Pusat SOCSO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics sehingga jam 11 malam, berbanding sekarang bermula 9 pagi hingga 5 petang, dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Beliau percaya, lanjutan tempoh operasi pusat berkenaan akan membolehkan rawatan awal pesakit dipercepatkan, sekaligus membantu proses pemulihan dan memudahkan mereka kembali bekerja dengan lebih segera.