Oleh Malaysia Good News

Gambar : unsplash

RAKYAT Malaysia yang didedahkan dengan pengalaman bekerja di negara seperti Jepun yang mempunyai standard dan etika tertinggi akan memanfaatkan negara, seiring Dasar Pandang ke Timur yang diaktifkan semula, baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ini kerana, mereka bukan saja akan mendapat gaji yang baik, malah beroleh pengalaman dalam kemahiran dan teknologi untuk dibawa balik ke Malaysia kelak.

“Fikirkan berapa banyak manfaat yang negara kita akan dapat daripadanya, seiring Dasar Pandang ke Timur yang diaktifkan semula, baru-baru ini,” katanya, memetik laporan media.

Apatah lagi, menurutnya rakyat Malaysia juga bakal didedahkan kepada disiplin tenaga kerja di Jepun yang mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi.

“Harapannya ialah mereka akan mencontohi etika ini dan mengajar rakyat Malaysia yang lebih muda tentang prinsip yang sama apabila kembali ke negara ini,” katanya lagi.

M Kulasegaran. Gambar : @mkula

Sehubungan itu, Kulasegaran berkata, kerajaan berharap agar memorandum kerjasama (MoC) yang sedang dirangka bagi  Malaysia menghantar pekerja separa mahir ke negara matahari terbit itu dapat dicapai.

Sama ada perjanjian rasmi itu dimutamadkan atau sebaliknya, beliau berpandangan ia tidak akan menghalang rakyat Malaysia mencuba nasib di luar negara, justeru tidak adil untuk menghalang mereka mencari pekerjaan lebih baik.

“Tetapi, dengan adanya perjanjian rasmi sekurang-kurangnya mungkin ada perlindungan dan pemantauan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia. Dan perkembangan mereka di luar negara juga dapat dipantau,” tambahnya.

Buat masa ini, katanya ada kira-kira sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara dengan Singapura mencatat jumlah tertinggi, iaitu 500,000 orang.

Sambil merujuk faedah yang diperolehi Filipina dan India dengan mengeksport pekerja mereka ke luar negara, beliau berkata, Malaysia perlu bergerak ke arah sama untuk pelaksanaan automasi yang dihasilkan Revolusi Perlindustrian 4.0 yang menyaksikan pekerjaan berubah kepada tenaga lebih mahir dan teknikal.

Jelasnya, rakyat Malaysia di luar negara juga biasanya menghantar pulang sejumlah besar wang kepada keluarga atau orang tersayang dan ini bermakna lebih banyak pendapatan boleh dibelanjakan di dalam negara.

“Malaysia Baharu nanti akan terdiri daripada tenaga kerja yang sangat mahir dan bergaji tinggi. Oleh itu, kita perlu memberi kemahiran, kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran kita serta meneroka ke bidang baharu untuk mempelajari etika kerja yang baik.

“Sekaligus, meningkatkan produktiviti kita serta mengkaji teknologi mereka supaya Malaysia boleh menikmati manfaatnya juga,” katanya.