Oleh Malaysia Good News

PENJAWAT awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa berwaspada terhadap taktik syarikat pemberi pinjaman yang giat mencari mangsa pada musim perayaan ini dengan menyamar sebagai ejen Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA).

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata modus operandi syarikat pemberi pinjaman ini untuk memikat penjawat awam dan kakitangan GLC ialah dengan menampal iklan, menawarkan pinjaman mudah dengan pembayaran balik secara potongan gaji.

Bagi meyakinkan mangsa, menurutnya mereka menggunakan taktik dengan mendakwa sebagai ejen ANGKASA, menawarkan pinjaman mudah kononnya bagi meringankan bebanan mereka yang membuat persiapan, misalnya sempena sambutan Aidilftiri ini.

“Skim pinjaman dan pembayaran melalui potongan gaji ini hanya boleh dilakukan kepada kakitangan kerajaan atau GLC sahaja. Jadi, taktik mereka ialah dengan mendakwa wakil koperasi yang ada kaitan dengan ANGKASA dan boleh menguruskan permohonan pinjaman secara mudah.

“Taktik ini memang sering dilaporkan dan digunakan setiap kali tiba musim perayaan, macam sekarang sudah hampir dengan sambutan Aidilfitri. Kumpulan ini akan muncul kerana mereka tahu ramai akan memerlukan pinjaman kecemasan bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya, memetik laporan media.

Abdul Fattah, selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Masjid FELDA Sungai Panching Timur di Kuantan, semalam berkata pihaknya memandang serius tindakan menyalahgunakan nama ANGKASA.

Datuk Abdul Fattah Abdullah. Gambar fb @ANGKASACoop

“Pihak kami mengingatkan orang ramai, terutamanya penjawat awam supaya tidak terpedaya dengan iklan (pinjaman mudah) seumpama itu,” tambahnya sambil menasihati mereka yang pernah ditawari pinjaman oleh ejen yang mengaku wakil ANGKASA supaya berwaspada dengan membuat laporan polis.

Beliau menasihati penjawat awam atau kakitangan GLC supaya tidak terlalu mudah percaya dengan tawaran pinjaman mudah ini, sebaliknya memeriksa terlebih dahulu status syarikat atau ejen, benarkah mereka mewakili koperasi seperti didakwa atau sebaliknya bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Rekod ANGKASA, katanya menunjukkan ada kira-kira 800 koperasi dibenarkan menawarkan pinjaman wang kepada ahli, termasuk penjawat awam dan kakitangan GLC tetapi daripada jumlah itu, hanya 400 koperasi aktif memberi pinjaman dengan kadar faedah munasabah.