Oleh Malaysia Good News

LEBIH RM1 bilion dimohon Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmayan Awam (Cuepacs) bagi dipertimbangkan kerajaan untuk ahlinya sebagai bantuan khas menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata perbincangan sudah dibuat dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan ia mejadi kenyataan, malah surat juga telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Jumlah itu, katanya membabitkan peruntukkan bonus raya RM1,000 untuk diagihkan kepada penjawat awam manakala RM500 bagi pesara.

“Sebelum ini, hanya golongan Gred 41 ke bawah yang layak menerima bonus raya tetapi kali ini kita tidak mahu ada sekatan agar semua Gred 54 ke bawah layak menerimanya,” katanya, memetik laporan media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Imigresen Kelantan dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Seluruh Malaysia (KPISM) di Pasir Mas, semalam.

Turut hadir di majlis ialah Presiden KPISM, Mohd Fauzi Jamaluddin dan Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.

Datuk Azih Muda. Gambar : cuepacs.blogspot

Pada majlis sama, Azih juga memohon supaya fasiliti di pintu masuk utama negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang yang didapati agak ketinggalan perlu dibuat penambahbaikan demi keselesaan pegawai bertugas ekoran peningkatan jumlah  trafik yang keluar masuk.

“Di sini, kita mahu supaya kerajaan melihat semula kebajikan dan keperluan anggota agar dapat menjalankan tugasan dengan lebih kondusif,” katanya, sambil menyifatkan anggota beruniform sebagai “orang penting” yang menjaga keselamatan, selain bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat.

“Kita memohon agar gaji kakitangan beruniform perlu lebih tinggi daripada gaji kumpulan yang lain. Kita tahu wujud kekangan di segi kewangan bagi pihak kerajaan namun kita tetap memohon agar ia dipertimbangkan.”