Oleh Malaysia Good News

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi pengambilan anggota bomba wanita perlu dikaji semula untuk menggalak lebih banyak penyertaan oleh golongan itu, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Buat masa ini, katanya wanita hanya merangkumi 5 peratus daripada 14,000 anggota bomba sedia ada di seluruh negara, atau lebih kurang 200 orang.

Jelasnya, kurang pendedahan mengenai peranan anggota bomba yang disangka hanya membabitkan tugasan fizikal yang agak kasar menyebabkan golongan hawa kurang tertarik untuk memohon menyertai pasukan itu.

Gambar : kpkt.gov.my
Gambar : kpkt.gov.my

“Ketika ini, peluang pekerjaan dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerja sebagai anggota bomba kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.

“Sebenarnya, ada banyak lagi tugas-tugas anggota bomba yang memerlukan pembabitan anggota wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada awam, khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran,” katanya kepada media selepas majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Balai Bomba Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Cadangan itu juga, kata Zuraida, telah dimaklumkan kepada Ketua JBPM, Datuk Muhammad Hamdan Wahid termasuk bagi mengkaji semula proses dan ujian fizikal untuk memudahkan pengambilan wanita di masa depan.