Oleh Malaysia Good News

MODAL insan berkemahiran dan pakar dalam bidang teknologi maklumat perlu dilahirkan Sarawak dalam membangunkan bandar pintar sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mencapai status maju menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri akan menyuntik modal dalam usaha menambah nilai sumber-sumber sedia ada, selain menaik taraf infrastruktur bagi tujuan pembangunan kawasan luar bandar.

“Kami memerlukan kepakaran dalam bidang seperti analisis data, keselamatan siber dan pada masa sama,melakukan program serta reka bentuk,” katanya, memetik laporan media ketika menyempurnakan majlis penutupan Forum Kepimpinan Asia Ke-2 Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di Kuching, semalam.

Perancangan bagi pembangunan bandar pintar itu, menurutnya akan menyaksikan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei untuk mengguna pakai teknologi mereka.

Jelas Abang Johari, bandar pintar itu kelak mempunyai data raya, penumpuan data serta rangkaian internet berkelajuan 5G.

“Ia membolehkan kita mengawal berlakunya jenayah, boleh mengatur pengangkutan awam selain gaya hidup penduduk dan sekaligus, menjadi kunci kepada kita untuk menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya lagi.