Oleh Malaysia Good News

Gambar : unsplash

REFORMASI bakat dan sumber tenaga negara adalah antara sekurang-kurangnya tujuh teras strategik yang digariskan kerajaan dalam memperkenalkan hala tuju baharu ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia, menurutnya adalah antara langkah bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama dan menyelesaikan kemelut ekonomi kini.

Beliau berkata, turut digariskan dalam teras strategik itu ialah penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan, menjana sektor pertumbuhan baharu serta memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

Dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam, jelas Perdana Menteri, inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi pendekatan ‘Kemakmuran Bersama’.

Gambar : @chedetofficial

Ia, katanya di mana kuasa beli rakyat dipertingkatkan sambil menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan jurang rantaian bekalan yang melampau.

“Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan, seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestablian di kalangan rakyat menjelang 2030,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga sudah mengenal pasti pemangkin lain seperti dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan Pendidikan dan TVET bernilai tinggi dan modal sokongan kewangan kompetitif.

Oleh itu, menurutnya ekosistem perniagaan dan industri negara perlu diberi penambahbaikan supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan, antaranya melalui penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0.

Tambahnya, ini termasuk meningkatkan kemahiran pekerja bernilai tinggi bagi melonjakkan ekonomi ke paras lebih tinggi.

“Bagi menjana ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor pertumbuhan baharu. Kita tidak boleh terperangkap dengan sektor tradisional dan cara kerja yang lama,” katanya lagi.