Oleh Malaysia Good News | Gambar fb @myjpa

“Anugerah ini adalah kombinasi kerja keras, usaha dan sokongan daripada kawan dan keluarga,” kata Muhamad Saiful Hakimi Daud, pelajar Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejuruteraan di universiti Amerika Syarikat.

Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berusia 24 tahun itu yang sedang menuntut di Pennsylvania State University meraih anugerah berkenaan selepas menerima skor penuh Purata Nilai Gred Kumulatiff (PNGK) 4.0.

Berasal dari Sungai Petani, Kedah, beliau kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Petroleum and Natural Gas Engineering Minor in Energy Business and Finance.

JPA, di dalam satu kenyataannya, memaklumkan Muhamad Saiful Hakimi telah dianugerahi Marshal Kehormat Kejuruteraan College of Earth and Mineral Sciences’ dalam satu majlis di Pegula Ice Arena pada 3 Mei lalu.

Kenyataan itu, antara lain turut memetik wakil Pennsylvania State University yang memuji Muhamad Saiful Hakimi yang telah menunjukkan pencapaian akademiknya, selain memperlihatkan kemahiran kepimpinan yang tinggi.

Muhamad Saiful Hakimi, dalam ucapan apresiasi yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam, turut menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada JPA yang telah menaja beliau dan rakan-rakannya selama empat tahun ini.

“Terima kasih JPA, terima kasih Malaysia,” katanya, mengakhiri ucapan dengan penuh kesyukuran.