Oleh Malaysia Good News

Gambar : Malaysia Rail Link YouTube

MIDF Research menjangkakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Projek kontroversi yang disambung semula pada kos lebih rendah, RM44 bilion itu dijangka merangsang pertumbuhan itu seawal ia dilaksanakan.

Kenyataan itu, bagaimanapun menyebut unjuran penuh sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung kepada kadar kesan limpahan ke atas sektor ekonomi lain.

“Pembayaran pampasan terhadap pekerja dan lebihan operasi bersih, masing-masing dijangka meningkat sebanyak 3.6 dan 2.1 peratus,” menurut kenyataan itu.

Keperluan bagi kelengkapan jentera dan pengakutan, kata firma penyelidikan itu menyebabkan unjuran menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap, masing-masing akan meningkat sebanyak 3.3 dan 2.1 peratus.

Projek berkenaan jelas akan memberi impak dari segi pengembangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam jangka masa panjang, termasuk dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti dagangan luaran.

Ia juga dijangka menjadi pemangkin industri dan pengkesport di Malaysa ekoran 70 peratus pengangkutannya adalah bagi tujuan penghantaran, sekaligus memberi kelebihan kepada Malaysia yang merangkumi perdagangan antarabangsa ekoran lokasi strategik projek itu untuk ke China serta negara Asean lainnya.