Oleh Malaysia Good News

RAMADAN bukan sekadar menahan daripada lapar dan dahaga, malah berpuasa membawa pengertian lebih meluas dalam mengawal diri daripada dipengaruhi oleh nafsu, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemuliaan bulan Islam itu, jelasnya perlu dipelihara dengan melatih diri supaya berdisiplin dan menolak yang tidak baik serta mengamalkan yang baik.

Jelasnya, ini termasuk mengawal diri daripada terbabit dengan rasuah.

“Ia masa untuk melatih diri, mengawal diri. Melatih diri kita supaya berdisiplin dan menolak yang tidak baik dan mengamalkan yang baik. Inilah puasa,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Putrajaya, tadi.

Beliau kemudian menjelaskan, “Puasa mengawal diri kita daripada dipengaruhi oleh nafsu kita dan kalau kita tidak berjaya mengawal nafsu maka sudah tentu kita akan hadapi banyak masalah, umpamanya kalau kita terlibat dengan rasuah.

“Dan kita tahu rasuah itu tidak baik dan dilarang, berdosa tetapi kita tidak melawan nafsu apabila dihulur suatu kepada kita.”

Dr Mahathir berkata, bangsa yang menolak nafsu dengan melakukan perkara baik dan meninggalkan amalan mungkar akan dihormati dunia.

“Orang yang lemah tidak mungkin berjaya, hanya orang yang kuat saja yang berjaya, (yang) kuat mengawal nafsu. Apabila kita dikenali (sebagai) bangsa yang menolak nfasu, yang melakukan apa yang baik dan menolak apa yang tidak baik maka semua di dunia akan hormati kita.

“Dengan itu, mereka akan berikan kepercayaan kepada kita dan kita akan dapat lebih banyak manfaat dan peluang untuk melakukan segala-galanya,” tambahnya.

Bukan hanya umat Islam, menurutnya manfaat ibadah puasa juga relvan dengan mereka yang bukan beragama Islam.

“Bagi orang bukan Islam pun mereka tentu tahu sebab-sebab kita (umat Islam) berpuasa. Mereka pun ada acara-acara puasa yang berlainan daripada kita tetapi tujuannya adalah sama iaitu mengawal diri daripada perbuatan yang dilarang,” katanya.