Oleh Malaysia Good News

Gambar : fb @IMMAFed

Lagu Negaraku berkumandang di Bangkok, Thailand semalam, dan petarung berusia 21 tahun, Colleen R Augustin menjadi penyebabnya.

Di Kejohanan Terbuka Asia, atlet seni bela diri campuran (MMA) itu muncul wanita Malaysia pertama memenangi pingat emas selepas menumbangkan Nuzhamal Sadykova dari Kazakhstan dalam perlawanan divisyen strawweightmelalui TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Ini sekaligus menjadikan Colleen sebagai pemenang pingat emas pertama dari Asia Tenggara pada kejohanan antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.

“Hari ini, saya menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul Kejohanan IMMAF Terbuka Asia (Divisyen Strawweight),” menurut hantaran yang dipaparkan di akaun Instagram @colleenspartanmma, sejurus tamat acara.

“Sejujurnya, ia adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan. Dua pertarungan hebat, dua hari berturut-turut menentang pasukan Kazakhstan, dua kali. Saya benar-benar menghormati gadis-gadis itu.

“Saya menangis di podium kala mendengar lagu kebangsaan Malaysia berkumandang, manakala semua rakyat Malaysia yang hadir menyanyi sekuatnya dengan bangga. Ia benar-benar menyentuh hati saya kerana saya menjadi penyebab lagu kebangsaan itu dimainkan untuk seluruh Asia mendengarnya.”

Gambar : fb @colleenaugustinathlete

Ini adalah penyertaan pertama Colleen, mewakili Malaysia, dalam kejohanan antarabangsa MMA.

Mula mencipta nama sebagai atlet OCR (Obstacle Course Racing) seawal usia 16 tahun, anak jati Pulau Pinang ini juga mendalami latihan dalam sukan Muay Thai, kickboxing, Brazilian Jiu-jitsu dan Spartan Race.

Melalui satu paparan berasingan, sebelum ini, Colleen melahirkan rasa bangganya apabila dipilih mewakili Malaysia ke kejohanan MMA itu.

“Saya berdebar-debar namun turut teruja untuk memperlihatkan kemahiran saya dan membuktikan kepada semua bahawa Malaysia ada petarung berbakat dan berupaya menyaingi negara-negara terbesar dan terbaik di seluruh dunia,” katanya.