Oleh Malaysia Good News

BAZAR Ramadan di Lembah Klang akan dijadikan projek rintis pusat pengumpulan dan pengedaran makanan untuk sahur di bawah Program Food Bank Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Langkah itu, menurutnya diharap memudahkan lagi proses pengagihan makanan ke surau, masjid dan kampus, selain dapat mengelak pembaziran yang dipercayai sering berlaku semasa sambutan bulan berkenaan.

Beliau, dalam kenyataannya selepas merasmikan  Bazar Aidilfitri dan Food Bank Siswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu kota, dipetik berkata: “Penelitian sedang dilakukan iaitu kita boleh tempatkan satu kotak, di mana lebihan makanan boleh diletak di situ dan kita akan ambil untuk beri sasaran kita bersahur.

Gambar : fb @saifuddin.nasution

“Kita ambil pada waktu berbuka puasa dan kita pastikan ia selamat dimakan.”

Pada peringkat pertama ini, seramai 382 penuntut UTM yang menerima manfaat daripada Program Food Bank Siswa Malaysia adalah mereka yang dikenalpasti layak daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Selain bazar Ramadan, Saifuddin berkata projek berkenaan juga menyasarkan hotel dan rumah kelab.

Memahami kekhuatiran mengenai tempoh ketahanan makanan yang dikumpul, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan makanan bagi memastikan tidak berlaku masalah seperti makanan basi atau tercemar.

“Kita tidak mahu makanan yang disediakan semasa Ramadan dikaitkan dengan makanan yang tidak habis semalam, dijual pada hari ini. Benda itu akan menimbulkan potensi masalah dan itu yang cuba kita elak,” katanya.