Oleh Malaysia Good News

SISTEM pendidikan negara perlu diteliti semula berikutan berlakunya ketidaksepadanan pekerjaan yang dikesan membabitkan graduan dalam pasaran sekarang, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Ketidaksepadanan itu, katanya ketara berdasarkan nisbah tujuh daripada 10 graduan terlibat dalam kursus kemanusiaan berbanding enam daripada 10 pekerjaan sedia ada cenderung dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Jadi, kita bincang soal ketidaksepadanan yang berlaku dalam sektor pekerjaan dan pasaran hari ini kerana graduan yang dikeluarkan itu merupakan, nisbahnya tujuh daripada 10 graduan itu terlibat dalam kursus-kursus kemanusiaan.

“Sedangkan enam daripada 10 pekerjaan yang diperlukan adalah dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Jadi, kita kena lihat balik sistem pendidikan negara kita dan output daripada sistem pendidikan kita itu berupaya memenuhi keperluan industri,” katanya, memetik kenyataannya pada sidang media selepas perbincangan strategik antara kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Gambar : fb @MohamedAzminAli

Jelas Azmin, ia menyusuli perbincangan dalam mesyuarat khas kabinet, Rabu lalu, merujuk dua kertas bagi melihat peluang mencipta pekerjaan untuk golongan belia tempatan.

“Mesyuarat khas kabinet ini yang diputuskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ialah untuk membincangkan isu-isu tertentu yang mendesak. Itu yang kita fokus pada Rabu lepas,” katanya.

“Dan hari ini, kerajaan ingin melihat apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan bagi graduan-graduan kita.”