Oleh Malaysia Good News | Gambar fb @TunDrMahathir

Sikap terlalu memilih dalam pekerjaan merugikan negara bukan saja kerana peluang banyak direbut pekerja asing, malah menyebabkan berlaku pengaliran keluar wang ke luar negara, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini, katanya tidak seharusnya berlaku kerana dasar kerajaan mengutamakan pekerjaan di Malaysia untuk warga tempatan.

Sebenarnya, beliau berkata peluang diambil pekerja asing berikutan keengganan rakyat sendiri untuk membuat kerja tertentu walaupun berkeupayaan melakukannya.

“Akhirnya, mereka (pekerja asing) menjadi kaya dan kita pula kekal atau menjadi miskin,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Disertai lebih 5,000 pekerja dalam perkhidmatan awam dan swasta, majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar selain Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar.

Dr Mahathir berkata, kerajaan peka dengan isu yang membimbangkan rakyat itu dan pelbagai tindakan telah diambil, termasuk memastikan pekerja asing hanya digaji untuk sektor yang kurang sambutan warga tempatan seperti sektor 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).

Pengambilan ramai pekerja asing, katanya menyukarkan lagi suasana ekonomi negara.

“Jika mereka (warga tempatan) tidak bekerja, mereka tiada pendapatan, sebaliknya orang asing akan bekerja dan duit kita mengalir keluar.Kita juga tidak boleh bagi duit percuma (kepada rakyat) seperti dulu,” katanya, memetik kenyataan kepada media kemudiannya.

Apa yang penting, tambah beliau adalah untuk memiliki pekerjaan dan dibayar gaji.

“Jika tidak bekerja, tidak ada gaji langsung,” katanya. “Kita bekerja untuk majukan negara. Jika kita tak nak kerja, orang lain dapat duit, kita yang rugi.”