Oleh Malaysia Good News

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran
Gambar fb @kulasegaran

BEKAS banduan perlu diberi peluang kedua, termasuk meraih tempat dalam pasaran pekerjaan sekaligus sebagai usaha menghadapi masalah kekurangan pekerja sekarang ini, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Peluang yang diberikan itu juga, menurutnya diharap dapat mengelak kemungkinan mereka kembali kepada kehidupan lama.

Jelasnya, pengambilan pekerja di kalangan bekas banduan adalah suatu yang harus difikirkan oleh majikan kerana mengambil kira kadar pengangguran negara pada masa ini yang mencatat 3.3 peratus.

“Negara ini masih memerlukan pekerja dan saya percaya, mana-mana bekas banduan perlu dibantu dengan membuka peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya dalam satu sidang media pada program Labour Day Run and Ride 2019 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Putrajaya, semalam.

“Saya berpendapat kita perlu mencuba dan membantu (bekas banduan). Jika tidak, mereka kembali ke pekerjaan lama.”

Gambar fb @PERKESO.Official

Program sempena sambutan Hari Buruh 2019 pada 1 Mei ini disertai hampir 10,000 peserta, membabitkan kegiatan larian dan kayuhan basikal. Ia diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Pengambilan bekas banduan, kata Kulasegaran bukan perkara baru, malah ada beberapa kementerian yang memberi penekanan terhadapnya termasuk menawarkan ganjaran dan insentif kepada majikan yang menggaji golongan itu.

Kementeriannya juga, katanya akan menyediakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional kepada bekas banduan.

Jelasnya, sama ada kesalahan dilakukan bekas banduan itu secara sengaja atau tidak, mereka berhak mendapatkan peluang untuk membina hidup baru.

“Kita dalam kehidupan ada buat kesalahan diingini atau tidak diingini, tetapi kita perlu beri satu peluang kepada mereka sebab ini adalah harapan baru kepada mereka,” tambahnya.