Oleh Malaysia Good News | Gambar twitter @mkula

Kurang upaya daripada segi fizikal tidak seharusnya dianggap menutupi peluang mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Jelasnya, usaha untuk menarik golongan ini masih merupakan antara cabaran dihadapi kementeriannya semenjak setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Oleh itu, sebuah portal telah dibangunkan bersama sebuah kolej swasta yang membolehkan golongan ini mencari padanan pekerjaan yang bersesuaian di pasaran,” katanya, memetik laporan media.

Cabaran lain, katanya termasuk usaha menggalak mereka yang berusia 60 tahun ke atas untuk kembali menyertai pasaran pekerjaan.

Berikutan itu, menurutnya beliau telah mengarahkan beberapa kementerian dan anak syarikat merujuk warga emas berpengalaman dalam pencarian, selain graduan baru.

Usaha ini, jelas Kulasegaran, bukan sahaja dapat memanfaat tenaga tempatan, malah menyokong kerajaan untuk mengurangi kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, setahun semenjak PH memerintah, pekerja asing merupakan isu yang tidak berkesudahan.

PH bagaimanapun, menurutnya tidak lupa mengenai janji untuk mengurangi jumlah pekerja asing, daripada 6 juta kepada 4 juta dalam penggal pertama pemerintahannya sepertimana yang terkandung dalam manifesto pilihan raya mereka.