Oleh Malaysia Good News | Gambar @TunDrMahathir

KUNJUNGAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Beijing, bermula semalam membuka lembaran baru hubungan dua hala Malaysia-China yang menyaksikan pemeteraian perjanjian projek mega, antaranya Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara.

Perjanjian bagi menyambung projek Bandar Malaysia itu yang tidak termasuk dalam agenda, ditandatangani susulan pertemuan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Li Keqiang.

Perjanjian rangka kerja itu ditandatangani Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Malaysia, manakala China diwakili presiden China Railway Group Limited, Zhang Zongyan bagi pihak pemaju, IWH-CREC.

IWH-CREC adalah usahasama 60:40 antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC). Ia yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia adalah sebuah syarikat Malaysia, di mana kerajaan memegang 40 peratus pegangan, manakala syarikat China 24 peratus dan baki dimiliki syarikat-syarikat asing.

Dalam pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People, semalam Dr Mahathir melahirkan penghargaannya kepada pemimpin China itu berikutan usahanya memperkukuh hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China.

“Tapi, ingin saya ulang… ulangi lagi bahawa Malaysia dan China sememangnya akrab sejak berabad dulu,” katanya sebagaimana dipetik media.

Dr Mahathir berada di Beijing bagi menghadiri Sidang Kemuncak dan Forum Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) bagi Kerjasama Antarabangsa atas undangan Xi. Beliau mewakili delegasi Malaysia dalam pertemuan dua hala dengan Xi, Li dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Li Zhanshu.

Xi, susulan pertemuan dengan pemimpin berusia 94 tahun itu yang dilihat membuat “sumbangan signifikan terhadap pembangunan hubungan China-Malaysia”, turut menyifatkan kunjungan ini membuka lembaran baru di dalam perhubungan dua negara ini.

Ini adalah lawatan rasmi kedua Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kunjungan pertama pada Ogos 2018 susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 lalu yang menyaksikan kekalahan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Semalam, Dr Mahathir dan Li turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman mengenai usaha meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan China berkaitan minyak kelapa sawit dan pembangunan taman-taman perindustrian serta hab logistik membabitkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Projek Bandar Malaysia yang membabitkan pembangunan hartanah di pangkalan tentera udara Sungai Besi yang lama di kawasan seluas 196 hektar itu yang sebelum ini dimiliki 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dihentikan pada Mei 2017.

Keputusan bagi menyambung projek itu yang menyaksikan perubahan pada rancangan asal, menurut pemerhati seperti Hong Leong Investment Bank, bakal membuka ruang pekerjaan bernilai RM70 bilion, tambahan didorong penekanan terhadap penggunaan kandungan tempatan dalam proses pembinaan yang sekaligus dapat merancakkan sektor pembinaan tempatan.

Dr Mahathir, sebelum itu dalam dialog bersama tokoh koporat China, juga memberi isyarat jelas hubungan Malaysia-China.

“Kami mempunyai kerajaan yang sangat mesra perniagaan di Malaysia, rakan kepada pelabur, yang membantu pelabur,” katanya, sambil menyatakan harapan akan dapat menjalin lebih banyak kerjasama perniagaan dengan China.

“Malaysia adalah rakan China.”

Di dalam satu kenyataan lain, beliau juga mengakui kedatangannya ke Beijing kerana ingin mengetahui lebih mendalam inisiatif dan idea China, apatah lagi kerana Malaysia adalah antara negara yang berada di dalam laluan BRI yang tentunya membawa impak kepada ekonomi negara.