Oleh Malaysia Good News | Gambar www.pmo.gov.my

ORANG Asli adalah pembuka jalan bagi Malaysia meraih perhatian pelancong, khususnya dari Eropah, dalam usaha menggalak eko pelancongan dan kraf.

Ini menjelaskan keperluan bagi perlantikan segera ahli lembaga pengarah Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia di kalangan masyarakat itu oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Jelas Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, langkah itu juga sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin melihat hasil kraftangan Orang Asli diketengahkan dan dipasarkan di daerah tumpuan pelancong.

“Ia akan dilakukan segera,” katanya dalam satu kenyataan, seraya menambah perbincangan lanjut akan diadakan dengan agensi berkenaan bagi mengenalpasti kerusi ahli lembaga pengarah yang boleh diisi oleh Orang Asli.

Beliau menyifatkan, wakil Orang Asli perlu berada di dalam MOTAC untuk “memartabatkan lagi produk kraftangan mereka, selain sama-sama berkongsi idea dan memasarkan produk kraf mereka dengan lebih holistik.”

Perlantikan itu diputuskan Mohamaddin susulan ucapan Dr Mahathir pada Konvensyen Orang Asli Kebansgaan 2019 di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri, antara lain melahirkan keyakinannya bahawa eko pelancongan akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi masyarakat Orang Asli dengan wujudnya peluang pekerjaan, selain menggalak komunitinya, terutama golongan belianya menjadi usahawan.

Konvensyen itu yang pertama kali diadakan bertujuan melihat kepada isu-isu utama yang dihadapi masyarakat Orang Asli, di mana maklum balas dan cadangan diperolehi akan digunakan bagi menyediakan Cetak Biru Pembangunan Komuniti Orang Asli.

Tujuh isu utama yang diberi tumpuan ialah tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, infrastruktur, kepimpinan dan budaya.

Mohamaddin berkata, perlantikan itu juga selari dengan perancangan MOTAC yang kini menumpukan perhatian pada produk berasaskan eko pelancongan dan kraf yang merupakan antara tarikan pelancong asing ke Malaysia.

“Pelancong tidak datang ke Malaysia untuk melihat hutan batu kerana di negara mereka, terutamanya Eropah sendiri kaya dengan bangunan-bangunan ikonik mereka. Sebaliknya, mereka ini datang kerana mahu menikmati hutan tropika kita.

“Sudah semestinya di Malaysia ini, Orang Asli adalah golongan yang amat mahir dengan alam sekitar dan penempatan mereka yang kebanyakannya berada di kawasan bukit-bukau merupakan produk eko pelancongan terbaik,” katanya sebagaimana dipetik media.

Secara tidak langsung, beliau berkata, kehadiran wakil Orang Asli di dalam gerak promosi dan pelan pembangunan agensi-agensi berkaitan akan merangsang pertumbuhan ekonomi di kalangan masyarakat berkenaan.

“Kerajaan akan terus mendekati Orang Asli dalam usaha untuk meningkat taraf hidup merkea supaya boleh menikmati pembangunan sosio ekonomi negara dan kedudukan mereka setaraf dengan kaum lain,” tambahnya.