Oleh Malaysia Good News | Gambar @chedetofficial

“SEMUA pemimpin mesti ada kuasa. Tanpa kuasa, anda tidak boleh menjadi pemimpin,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam satu temubual.

Kelmarin, Perdana Menteri Malaysia ini disenarai oleh majalah Time sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia, menyusuli kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ia, sekaligus  meletaknya kembali sebagai pemimpin No.1 negara pada usia 93 tahun.

Dr Mahathir disenarai Time dalam kategori Pemimpin, sebaris tokoh seperti Putera Mahkota Abu Dhabi Mohamed Zayed, Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, antaranya.

Juga dalam senarai itu, pemain bola sepak profesional kelahiran Mesir, Mohamed Salah; bintang Hollywood, Dwayne Johnson atau dikenali juga sebagai The Rock; aktivis hak asasi manusia di Yaman, Radhya Al-Mutawakel; bintang K-Pop, BTS dan mantan wanita pertama AS, Michelle Obama.

Berikut, antara mereka yang menginspirasi Dr Mahathir:

Nabi Muhammad s.a.w

Digelar Rasulullah, membawa ajaran Islam dan merupakan nabi serta Rasul terakhir

“Nabi adalah contoh ikutan. Contoh ikutan terbaik,” kata Dr Mahathir mengenai siapa contoh ikutannya.

“Anda tahu kenapa saya katakan Nabi adalah contoh ikutan terbaik? Baginda dapat mengubah Jahiliyah, (kaum) Arab tidak bertamadun untuk menjadi tamadun paling berkuasa di dunia. Satu ketika, tamadun Islam mengetuai ketamadunan dunia. Mereka hebat dalam sains, perubatan dan perkara lain, jadi bagi seorang Islam, contoh ikutan terbaik adalah Nabi memandangkan Nabi boleh mengubah pemikiran masyarakat Jahiliyah, Arab yang sombong sehingga akhirnya Islam menjadi tamadun paling tinggi berbanding Eropah.

“Tamadun Eropah sudah tentu banyak mengambil daripada dunia Islam tapi saya mengagumi, saya memandang Nabi sebagai contoh ikutan, bukan kerana saya mahu menjadi Nabi . Saya tak rasa anda akan menerima saya sebagai seorang Nabi tapi (contoh) untuk cuba mengubah pemikiran masyarakat supaya kita mempunyai semua nilai-nilai yang baik yang membolehkan kita untuk bejaya di dalam usaha kita.”

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali

Isteri, mengahwini Dr Mahathir pada 1956 dan merupakan antara doktor wanita pertama di Malaya.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah berkenalan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura semasa sama-sama menuntut dalam bidang perubatan.

“Saya suka dia (Siti Hasmah) ada bersama. Kadang, dia tidak dapat menemani saya apabila saya ke luar negara tapi itu jarang berlaku. Saya merindui dia, ketika itu,” katanya dalam satu temubual sebelum berundur sebagai Perdana Menteri keempat.

Melalui satu paparan di @chedetofficial pada 10 Mei 2018, beliau memaparkan gambarnya dan Dr Siti Hasmah dengan kapsyen: “Dia sentiasa ada di samping saya, di masa susah dan senang.”

Tun Abdul Razak Hussein

Bapa Pembangunan dan Perdana Menteri kedua Malaysia (1970-1976).

“Saya amat terhutang segala-galanya dengan Tun Razak,“ kata Dr Mahathir, memberitahu dia yang dibuang Umno, diambil dan dijadikan menteri penuh oleh mantan Perdana Menteri itu. “Saya dilabel anak emas Tun (Razak) dan menyebabkan kemarahan orang kuat Umno.”

Mengimbau kematiannya pada 1974, katanya: “Sebelum ke UK (United Kingdom) untuk satu majlis di Parlimen, dia menarik saya ke belakang dan memberitahu dia sedang menderita akibat leukimia. Beliau mahu saya memaklumkan doktornya, Dr Macpherson.

“Saya beritahu dan sedar peluang beliau makin tipis. Saya masih terkejut dengan hal ini. Sememangnya Malaysia telah kehilangan pemimpin terhebat. Beliau telah melakukan perubahan yang besar demi masa depan negara dan bekerja keras demi cita-cita itu.

“Kehilangan ini adalah sesuatu yang peribadi buat saya. Tun Hussein (Onn), pengganti yang tidaklah begitu rapat dengan saya, saya fikir inilah penamat buat karier politik saya. Tetapi tidak. Tidaklah kerana Tun Razak telah bercakap sesuatu yang baik tentang saya kepada Tun Hussein.”

Nelson Mandela

Pejuang anti-apartheid dan Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan (1994-1999).

“Dia tiada permusuhan terhadap mereka yang memenjarakannya dan apa yang dia lebih kisah ialah pendamaian dan perkongsian kekayaan dan peluang antara kulit hitam dan putih. Sedikit saja (pemimpin) di dunia yang berhati mulia sebegini.

“Setiap kali saya ditanya siapa antara pemimpin yang pernah saya temui dan paling saya hormati, saya tidak ragu-ragu untuk menamakan Nelson Mandela.”

Gambar : Bloomberg

Peter the Great

Peter 1, dimahkotakan sebagai Tsar Rusia pada usia 10 tahun dan merupakan pemerintah Empayar Rusia (1682-1725).

Rusia pada akhir abad ke17 adalah sebuah negara yang ketinggalan, kata Dr Mahathir, tidak setanding dengan negara Barat Eropah menyebabkan Peter yang memerintah ketika itu, “mahu Rusia jadi sehebat Barat Eropah lalu mengenakan beberapa cara untuk menjadikan mereka lebih bertamadun.

“Ia bermula dengan kejayaannya mengubah minda rakyatnya untuk menerima perkara daripada Barat , nilai daripada Barat. Dan sejak itu Rusia berada di depan, sangat sangat ke depan, menjadikannya sebuah negara paling berkuasa.

“Di Malaysia, kita perlu mengubah pemikiran rakyat. Kita tahu ada tiga masyarakat (majoriti), tiga bangsa di Malaysia tapi pembangunan mereka tidak seimbang. Setengahnya sangat sangat kaya, setengahnya sangat sangat miskin. Dan jika kita ingin menjadikan yang miskin (jadi) kaya, memberi wang bukan jawapannya.

“Ia melemahkan mereka, menjadikan mereka bergantung kepada kerajaan tapi jika anda memberikan mereka nilai yang betul, maka mereka akan bangkit dan mengejar yang lain dengan nilai yang betul seperti kerja keras, rajin, nilai murni seperti disiplin, amanah. Semua ini adalah nilai murni…  nilai murni Islam. Jika kita jadikannya sebagai nilai-nilai kita, sudah tentu kita akan berupaya mencapai kemajuan yang lebih baik.”

Gambar : Wikipedia