Oleh Malaysia Good News

HAMPIR 130,000 peluang pekerjaan baharu berpotensi diwujudkan pada tahun ini menerusi pelaburan projek yang sudah diluluskan, menurut laporan terkini yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Disediakan, sebahagian besarnya oleh sektor perkhidmatan iaitu lebih 68,800, ia bagaimanapun menyaksikan penurunan berbanding tahun sebelumnya yang mencatat hampir 140,000 pekerjaan baharu diwujudkan.

MIER, di dalam Laporan Unjuran Ekonomi Malaysia: Kemas Kini Suku Pertama 2019, mengunjurkan semua sektor yang menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan mencatat pertumbuhan, tahun ini.

Sektor perkhidmatan yang menyaksikan pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus tahun ini, menurun daripada 6.8 peratus pada 2018, bagaimanapun masih mendahului antara lima penyumbang terbesar kepada pertumbuhan KDNK.

Manakala sektor pembuatan yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK, mencatat pertumbuhan pada kadar 4.6 peratus, merosot berbanding 5.0 peratus pada 2017. Penurunan disebabkan kelembapan prestasi pembuatan berikutan pertumbuhan permintaan global yang perlahan.

Gambar : Shutterstocks

Ini, menurut pembentangan yang dibuat oleh Pengarah Eksekutif MIER, Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid pada Taklimat Korporat Ekonomi MIER ke24, baru-baru ini antara lain disebabkan sentimen perlindungan yang meningkat menyusuli ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Amerika merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK dengan mencatat AS$19.4 trilion yang mencakupi 24.4 peratus ekonomi dunia, diikuti China (AS$12.2 trilion). Jepun berada di tempat ketiga dalam ekonomi dunia dengan AS$4.9 trilion, diikuti Jerman (AS$4.6 trilion).

Kesemua empat negara ini, menurut fakta yang dikongsi Dr Ahmad Fauzi Puasa melalui pembentangan dalam sesi berikutnya berhubung Perang Perdagangan AS-China: Impak Ekonomi Terhadap Malaysia Berikutan Aliran Dagangan China, mewakili lebih 50 peratus daripada ekonomi dunia.

MIER, melalui laporan sama, mengunjurkan perkembangan pada tahap lebih cepat dapat disaksikan tahun ini dalam sektor pembinaan, pertanian, perlombongan dan kuari. Sektor pembinaan mendahului pertumbuhan 5.0 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada 2018.

Permintaan terhadap minyak sawit mentah, didorong peningkatan permintaan bagi biodiesel memberi kelebihan kepada sektor pertanian yang diunjurkan berkembang 1.5 peratus tahun ini, berbanding 0.4 peratus tahun lalu.

Sektor perlombongan dan kuari pula dijangka berkembang 1.3 peratus, berbanding 1.5 peratus pada 2018.

Gambar : Shutterstocks

Jumlah pelaburan pada 2018 bagaimanapun menurut MIER, mencatat pertambahan dengan lebih RM201 juta, berbanding 2017, sekitar RM200 juta.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Dr Zakariah mencadangkan supaya kerajaan menumpukan perhatian pada usaha melonjakkan pendapatan bulanan rakyat dalam menghadapi isu kos sara hidup yang tinggi.

“Daripada membuat penetapan harga, lebih baik kerajaan berusaha menaikkan gaji sektor awam, misalnya. Cadangan saya, agar kerajaan menukar subsidi kepada pendapatan iaitu ubah dengan meningkatkan gaji dan upah,“ katanya.

Subsidi, menurutnya berkesan meringankan beban rakyat tetapi lebih kepada jangka masa pendek, begitu juga kebergantungan kepada penetapan kadar minimum gaji kerana bagi menstimulasi ekonomi, antara lain perlu ada galakan bagi “pelabur untuk melabur dan pengguna untuk berbelanja.”

Untuk itu, katanya kenaikan gaji harus seiring degan produktiviti.