Oleh Malaysia Good News | Gambar Fauzi Hamid

HIT Search yang memanggil dari kejauhan, terus menghiburkan penggemar muzik yang memenuhi foyer di kedai rekod Fenomena Music/DreamStudio di Plaza Damas, Sri Hartamas, kelmarin.

Ia hari yang menghimpunkan peminat, artis dan ribuan kedai rekod independan di seluruh dunia untuk meraikan sambutan Hari Kedai Rekod Sedunia (RSD) 2019, acara tahunan yang berlangsung pada setiap Sabtu pertama April.

Di Kuala Lumpur, pecinta muzik, pengumpul rekod dan piring hitam terutamanya, baru ini berhimpun bagi menyaksikan persembahan oleh artis tanahair, antaranya Kopratasa, The Times, Pitahati dan Lord and The Boys, selain kemunculan istimewa pemain bass Search, Nasir melalui pilihan lagu-lagu band rock popular itu.

Ia juga bersempena meraikan ulang tahun ke30 Fenomena, album Search terbitan M Nasir yang memuatkan hit seperti Pawana, Fenomena selain Isabella, dengan pelancaran piring hitam Edisi Emas Fenomena 30th Anniversary .

Turut diadakan, pelancaran cakera padat single Separa Sedar daripada The Times dan set 3 cakera padat Edisi Emas OAG. Sambil berhibur, acara dimeriahkan dengan penjualan piring hitam, kaset dan cakera padat, selain baju T penyanyi dan band terkenal.

RSD yang bermula di Amerika Syarikat sejak 2008 adalah satu kegiatan yang diuruskan oleh Jabatan Kedai Rekod dan dianjurkan dengan kerjasama Alliance of Media Stores (AIMS) dan Gabungan Kedai Muzik Bebas (CIMS).