Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

BUKAN hanya muzik, konsert Hadrami Music: A Hope Out of the Deep Pain yang berlangsung di Istana Budaya, malam tadi lebih merupakan biasan sebuah pengharapan yang dibibitkan oleh impian, cinta dan seruan kedamaian.

Dan bagi komposer, Mohammed Al-Ghoom, ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Semuanya bermula dengan sebuah impian,” kata pemuzik Yaman itu yang memperkenalkan enam lagu gubahannya yang diinspirasi oleh muzik autentik Hadrami, selain sebuah lagu tradisional. “Saya sememangnya tidak menjangkakan bahawa malam ini akan jadi kenyataan.”

Hadrami, legasi warisan muzik Hadramawt, disifatkannya sebagai jambatan antara Yaman dan dunia, di mana tema konsert dinamai sedemikian sebagai mewakili cabaran yang dihadapi negara berkenaan dan usaha mengatasinya.

Ia juga bagi memperdengarkan kepada dunia, mesej kedamaian di sebalik setiap gubahan Mohammed yang dimulai dengan Confusion, diikuti Authentic Madrouf, War and Peace, Joyous Farewell, Joyful Habish dan Sabbuha Dance.

Jelas beliau di dalam ucapannya sebelum mengakhiri persembahan yang mendapat dukungan pihak berkuasa kerajaan Hadramawt dengan kerjasama Kedutaan Yaman di Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia, ia adalah sebuah usaha yang bermula semenjak empat tahun lalu.

Hadrami, menurutnya membiaskan keindahan Yaman, kedalaman seni dan cinta yang dipupuk masyarakatnya, yang memperlihatkan bagaimana muzik tradisional itu menyatu secara harmoni dengan okrestra moden.

“Kerana itu, persembahan malam ini digelar pengharapan yang lahir daripada kepedihan yang mendalam, menerusi warisan muziknya yang memberi mesej bahawa Yaman sebagai sebuah negara yang penuh cinta, mengasihi kedamaian.

“Saya juga belajar bahawa tidak mengapa untuk berimpian biar pun ia mungkin kedengaran mustahil. Orkestra Muzik Hadrami malam ini, telah membuktikan kepada kita semua bahwa sememangnya tiada apa yang mustahil,” katanya.

Orkestra pimpinan Muhammad Khairul Azman Abdul Aziz itu menggabungkan 91 pemuzik orkestra, termasuk pemain tradisional Yaman. Persembahan juga diiringi kumpulan penari Hadrami, Yaman selain satu segmen yang menampilkan penyanyi dan pemuzik wanitanya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Syed Sirajuddin Jamallullail turut berkenan mencemar duli hadir menyaksikan konsert berkenaan, diiringi anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamallullail.

Juga hadir, Duta Besar Yaman, Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid; Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Istana Budaya, Dato Mohamed Juhairi Shaarani.

Sementara itu, Dr Adel Mohamed Ali, di dalam ucapannya sebelum itu, menyifatkan konsert berkenaan sebagai keraian sebuah perjalanan, juga jalinan perhubungan yang sekian lama dimeterai antara Yaman dan Malaysia.

Yaman, katanya dekat dengan Malaysia melalui migrasi masyarakatnya yang menyebarkan Islam selain legasi warisannya, terutama dari Hadramawt yang turut mempengaruhi seni Zapin dan Samrah yang dipopularkan masyarakat Melayu.

Dan Hadrami, menurutnya melangkah setapak lagi sebagai sumber inspirasi, menyampaikan mesej cinta dan kedamaian kepada dunia.

Mohammad Bakhtiar, di dalam ucapannya, juga percaya konsert itu dapat menjadi pencetus kepada perhubungan yang lebih bermakna antara dua negara, Yaman dan Malaysia, seraya menyatakan sokongan kepada pelaksanaan program seumpamanya di masa depan.