Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

Momentum isu dan keresahan orang Melayu-Islam yang masih berterusan, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Kemenangan hatrik yang diperolehi Barisan Nasional (BN) itu menerusi calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas PRK Cameron Highlands dan Semenyih, menurut penganalisa politik dan ekonomi, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, jelas menunjukkan penolakan pengundi kaum tersebut kepada PH.

Sekaligus, katanya dilihat kayu ukur berterusan sokongan pengundi Melayu-Islam kepada kerjasama Umno-Pas.

“Ia mesej jelas pengundi Melayu-Islam bahawa mereka telah menolak PH kerana gagal menjaga status quo mereka yang sepatutnya dipelihara oleh kerajaan,” katanya, merujuk keputusan PRK DUN Rantau yang menyaksikan kemenangan BN dengan majoriti 4,510 undi.

“Ya, memang telah dijangka kemenangan Umno bagi kerusi DUN Rantau atas beberapa faktor, iaitu calon yang telah teruji daripada aspek kepimpinan, pengalaman dan keperibadian; momentum isu dan keresahan orang Melayu-Islam yang masih berterusan dan kawasan yang mempunyai populasi pengundi Melayu-Islam tinggi memihak kepada parti Umno-Pas.”

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, berkata isu “politik perut” yang pernah dibangkitkannya juga masih menghambat pentadbiran PH, sekaligus membawa kepada kekalahan PH di DUN Rantau.

Hidup rakyat, katanya tidak berubah,malah makin dihimpit dengan keperitan hidup yang berterusan.


Dr Mohammad Tawfik Yaakub

“Jika dilakukan tinjauan kepada kehidupan rakyat, di kawasan Melayu Shah Alam misalnya, masih ramai yang dihimpit kemiskinan akibat kadar gaji yang tidak mampu menampung kos sara hidup yang masih sama. Pengundi Melayu muak dengan janji yang tidak ditunaikan, maka diterjemahkan dalam keputusan PRK Rantau.

“PH perlu berubah, bukan masih berbulan madu dengan kemenangan pada PRU 14 lalu. Perlu dengar dan hayati denyut nadi rakyat bawahan serta tidak terlalu berfantasi dengan perancangan yang luar biasa seperti kereta terbang dan sebagainya,“ katanya.

DUN Rantau yang mempunyai 20,926 pengundi itu menyaksikan perlawanan empat penjuru antara Mohamad, Dr S Streram yang mewakili PH selain Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi yang bertanding atas tiket Bebas.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat dan merupakanTimbalan Presiden Umno menang kerusi DUN Rantau dengan meraih 10,397 undi, berbanding Dr Streram 5,887 undi. Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing hanya memperolehi 83 dan 79 undi.

Gambar FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

Hari pengundian diadakan pada 13 April lalu selepas pengosongan kerusi berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu yang memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan.

Permohonan pembatalan dibuat Dr Streram, berpunca daripada tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang menghalang beliau memfailkan kertas pencalonannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 lalu.

Dr Mohammad Tawfik, ketika ditanya mengenai  kesan kemenangan Mohamad, terutama terhadap peranan Umno atau BN dalam situasi sekarang dan menuju Pilihan Raya ke15 nanti, berkata jelas Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi relevan untuk menerajui Umno.

Umno juga, katanya bukan saja boleh berjuang tanpa BN, malah perlu menjalinkan kejasama lebih serius dan formal bersama Pas kerana telah dibuktikan kejayaan formula berkenaan di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

“Kedudukan Ahmad Zahid perlu dinilai semula oleh ahli Umno kerana beliau tidak lagi relevan menerajui Umno dan Tok Mat adalah calon sesuai untuk menggantikan beliau sebagai Presiden.

“Mengapa? Kerana Tok Mat bebas daripada salah laku dan kontroversi sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar (Negeri Sembilan). Malah kejayaan di (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau sebenarnya adalah kerja keras Tok Mat untuk memulihkan semula imej dan keyakinan orang Melayu kepada Umno,” katanya.

Merujuk kenyataan Dato Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan PRK Rantau sebagai memberi mesej mengenai isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, Dr Mohammad Tawfik, berkata Kerajaan Persekutuan masih gagal mencari satu formula terbaik untuk menangani masalah ekonomi domestik dan kos sara diri.

“Kerajaan PH, malah masih dibelenggu sindrom menyalahkan kerajaan lama dan polisi terdahulu.

“Misalnya bantuan sara hidup kepada golongan bujang RM100. Apa yang  boleh dibeli golongan bujang dengan amaun sedemikian? Ini seolah-olah memperlekeh dan memperbodohkan mereka, hatta kerajaan BN pun boleh beri RM400, mengapa PH lebih miskin idea berbanding kerajaan sebelumnya?” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan mantan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak mengenai undi orang muda yang sudah kembali kepada BN dan kesan populariti kempen “Malu Apa Bossku” terhadap imej atau kemenangan parti gabungan yang pernah memerintah Malaysia itu, jawapnya:

“Najib pemimpin yang gagal dan masih tidak mampu menerima kenyataan bahawa beliau adalah punca utama kekalahan BN dalam PRU 14 lalu.

Tagline ‘Malu Apa Bossku’ adalah fenomena tapi dalam kalangan rakyat yang tidak boleh lagi mengundi, misalnya pelajar sekolah, belia yang tidak bekerja dan penyokong tegar (Najib). Ia tidak menyumbang kepada kemenangan Umno dalam mana-mana PRK dan kejayaan Umno dalam beberapa PRK lalu adalah disebabkan oleh isu-isu orang Melayu yang kian serius dan gagal ditangani kerajaan PH.”