Oleh Malaysia Good News | Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa negeri Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri.

Soal siapa berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor, titah baginda, tidak perlu dipertikaikan terutama oleh orang luar.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri,” titah Sultan Ibrahim melalui satu kenyataan, hari ini, mengiringi pengesahan pelantikan dan angkat sumpah jawatan Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor.”

Kedaulatan negeri Johor, titah baginda, adalah antara perkara yang perlu sentiasa dipelihara.

“Kedaulatan negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia,” titah baginda.

Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan surat tauliah pelantikan sebelum Dr Sahruddin melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharaan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Turut berkenan hadir, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Majlis diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di Johor Bahru, pagi tadi.

Pelantikan itu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini sebagai Menteri Besar Johor yang ke17, sekaligus menamatkan spekulasi berikutan perletakan jawatan oleh Datuk Osman Sapian pada 8 April lalu.

Dr Sahruddin, 43, sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor.

Sambil mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu, Sultan Ibrahim melalui kenyataan yang disiarkan di laman rasmi FB, bertitah agar Menteri Besar Johor yang baharu ini mengutamakan kepentingan Negeri, berbanding kepentingan diri atau politik.

“Saya harap beliau (Dr Sahruddin) akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor,” titah baginda.

Isu pencemaran sungai, titah baginda, hendalah diberi keutamaan bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang. Dr Sahruddin memainkan peranan dalam menyelesaikan isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang,  sebelum ini.

Kerajaan pula, titah Sultan Ibrahim, sebaiknya tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah, sebaliknya menumpukan perhatian untuk membantu rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

Tidak perlu, titah baginda, untuk menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya bagi menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.