Oleh Malaysia Good News

KALA diperkenalkan pada 1989, Isabella mencipta fenomenanya bukan saja di tanahair, malah meledak sampai ke Indonesia.

Ia mencatat rekod jualan 2 juta unit di Indonesia dan dijual sebanyak 250,000 unit di Malaysia. Dan sesudah 30 tahun, lagu popular Search itu yang merupakan ciptaan band rock itu sendiri dengan lirik oleh Bob Lokman, menjadi siualan sampai kini!

Esok, sempena sambutan Hari Kedai Rekod Sedunia (RSD) 2019, Search meraikan ulang tahun ke30 Fenomena, album yang memuatkan hit seperti Pawana, Fenomena selain Isabella, dengan meluncurkan piring hitam Edisi Emas Fenomena 30th Anniversary .

Ditampilkan dengan sarung hitam, piring hitam merah keluaran Jerman itu akan dilancarkan Search pada keraian di foyer Fenomena Music/DreamStudio, Plaza Damas, Sri Hartamas yang bermula seawal jam 10 pagi hingga 7 petang, esok.

Ia boleh didapatkan bersama set piring hitam album Karisma, juga oleh Search.

Mengimbau kelahiran Fenomena, album terbitan M Nasir itu adalah yang pertama bagi Search yang menampilkan versi cakera padat. Ia memasuki pasaran pada 1990, setahun selepas dilancarkan dalam bentuk kaset.

Esok, Search yang sebelum ini menampilkan Amy, Nasir, Din, Kid dan Yazid akan turut mengadakan persembahan istimewa pada sambutan RSD, satu kegiatan yang diuruskan oleh Jabatan Kedai Rekod dan dianjurkan dengan kerjasama Alliance of Media  Stores (AIMS) dan Gabungan Kedai Muzik Bebas (CIMS).

RSD adalah sebuah acara tahunan bagi meraikan budaya kedai rekod, berlangsung setiap April, membabitkan ratusan artis rakaman menerusi kegiatan seperti sesi bertemu peminat, membuat kemunculan istimewa, mengadakan kutipan derma untuk komuniti selain mengeluarkan cakera padat dan piring hitam istimewa.

Selain piring hitam edisi terhad 30 Tahun Fenomena, ia juga menyaksikan pelancaran cakera padat single Separa Sedar daripada The Times dan set 3 cakera padat Edisi Emas OAG yang kemudian akan diraikan menerusi satu persembahan istimewa.

Fenomena Music & DreamStudio, menerusi satu siaran medianya, juga memaklumkan acara esok akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal lain tanahair, termasuk Hillary Ang Project, Kopratasa, Dato Khadijah Ibrahim, Black Rose dan Pita Hati.

Sila layari FB fenomenamusic dan dreamstudio, atau IG @fenomenamusic dan @dreamstudio20, atau emel ke fenomenamusic@yahoo.com untuk maklumat lanjut dan pertanyaan. Atau, anda juga boleh menghubungi 03-62010372.