Oleh Malaysia Good News | Gambar Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB)

INI pengalaman pertama buat Ratu Rock, Ella yang selama ini memang mengikuti perkembangan mengenai peperangan yang sudah lapan tahun berlarutan di Syria, selain Palestin yang menyebabkan jutaan menjadi pelarian.

Sering, kesengsaraan pelarian ini terutama apabila melihat wanita dan kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa membuat hatinya tersentuh.

Ia juga menyebabkan dirinya tidak pernah berhenti memikirkan: “Apa yang boleh saya lakukan?”

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, dia dan suami, Kapten Azhar Ghazali menyifatkan perlantikan mereka berdua sebagai Ikon Kemanusiaan oleh Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) adalah satu penghormatan buat mereka.

“Niat (membantu) sudah lama ada, malah saya selalu memikirkan bagaimana cara untuk membantu pelarian-pelarian ini secara lebih efektif,” katanya, mengaitkan pembabitannya secara langsung di dalam usaha sebegitu juga selari dengan mesej yang diketengahkan melalui albumnya, Peace.Love.Rindu.

“Dalam konteks saya dan Kapten Azhar sebagai Ikon Kemanusiaan, ia secara tidak langsung membicarakan soal sayang, cinta dan kerinduan, pada keamanan misalnya. Saya melihat ini sebagai suatu yang baik, kerana itu saya dan suami memutuskan kami mahu melakukannya.”

Kapten Azhar berkata, walaupun pernah bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Syria Care dan Syria For You, baik dia mahu pun Ella tidak menjangka mereka akan berpeluang mengalami sendiri pengalaman bertemu pelarian di kem-kem.

“Kami memilih untuk bersama KKB, bagi projek Lebanon ini, kerana berasa kami perlu menyokong kerja-kerja murni sebegini, lebih-lebih lagi oleh NGO baru yang lebih memerlukan sokongan. Kami pun tidak pernah meletak syarat harus membawa kami ke kem terbabit, jadi ini satu kejutan dan pengalaman baru buat kami,” katanya.

Kolaborasi Ella dan KKB itu, menurut Pengarahnya, Dr Roslan Ahmad, membolehkan kelancaran kempen #1follower1ringgit, di mana dana yang diperolehi dapat digunakan bagi membantu pelarian, antaranya untuk menampung keperluan kesihatan dan bekalan makanan.

Oleh itu, pihaknya berbesar hati di atas kesudian pasangan itu dan inisiatif bagi menjayakan kempen berkenaan.

“Sasaran kempen ini adalah untuk mengutip dana sebanyak RM500,000 untuk menampung keperluan pendidikan, kesihatan, makanan dan kewangan pelarian,” katanya menerusi siaran akhbar yang diedarkan kepada media pada satu majlis di Kuala Lumpur, kelmarin.

Jelasnya, sebahagian daripada aktiviti kempen berkenaan adalah mengadakan lawatan ke beberapa kem penempatan pelarian di Lembah Bekaa, Lebanon pada akhir April ini untuk melihat sendiri keadaan hidup mereka di sana.

“Kami juga akan membawa Ikon Kemanusiaan kempen ini, Ella dan Kapten Azhar melawat beberapa keluarga untuk mendengar kisah mereka, cabaran hidup sebagai pelarian, juga lawatan ke sekolah dan pengagihan bantuan makanan di kem.

“Lawatan itu juga diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai realiti kehidupan yang dialami pelarian Palestin dan Syria di sana, serta melahirkan rasa syukur dengan kehidupan kita di Malaysia,” katanya sambil berharap kempen berkenaan menjadi jambatan bagi orang ramai membantu pelarian ini.

Kempen yang bermula pada 15 Februari lalu itu akan berlangsung sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Kapten Azhar berharap kempen berkenaan yang akan digunakan sebagai usaha bagi menyebarkan mesej mengenai penderitaan yang ditanggung pelarian-pelarian ini akan mendapat sokongan peminat Ella.

“Kami berharap untuk menyebarkan mengenai perang dan kesannya, sambil menyuntik rasa tanggungjawab terhadap saudara kita ini menerusi hebahan dan perkongsian di saluran media sosial Ella sebagai platform,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen atau program KKB, sila layari laman web rasmi www.kkb4u.org atau hubungi di talian tetap 03-21817552 / 0175759783 (Pengarah Projek). Anda juga boleh membuat sumbangan terus ke akaun Kedamaian Kemanusiaan Berhad di 5571 5731 5233 (Maybank), 14014010152198 (Bank Islam) dan 26413300023705 (RHB).