Oleh Malaysia Good News | Gambar www.ltdlangkawi.my

GENTING Highlands, hari ini, menjadi tumpuan pada kejuaraan lumba basikal antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTdL) berikutan termeterainya perjanjian penajaan oleh Genting Malaysia Berhad bagi edisi ke24 yang bermula Ahad lalu.

Edisi 2019 ini menyaksikan Genting menaja RM1 juta dalam bentuk tunai dan lain-lain. Ia adalah penajaan pertama Genting dalam tempoh empat tahun selepas menjadi penaja selama 18 edisi sejak acara itu diperkenalkan pada 1996.

Ia sekaligus menyaksikan Resorts World Genting kembali menjadi hos bagi pelumba menyempurnakan cabaran peringkat keempat di dalam perlumbaan berprestij itu yang menyediakan pendakian mencapai lebih 1,700m.

LTdL kali ini disertai 132 pelumba daripada 22 pasukan, termasuk dari Eropah, Amerika Selatan selain Asia.

Selain taman tema dan kasinonya, apa lagi yang anda ketahui mengenai destinasi yang digelar Kota Hiburan ini?

  • Dibuka pada 1965, menggunakan laluan dari Genting Sempah ke puncak Gunung Ulu Kali, Genting Highlands yang terletak di Pahang sebenarnya hanya 35km jaraknya dari Kuala Lumpur, menjadikannya antara destinasi percutian singkat paling digemari.
  • Selain pemanduan, ia boleh diakses dengan menaiki kereta kabel Awana SkyWay dari Stesen Awana ke Stesen SkyAvenue yang mengambil masa 10 minit perjalanan, selain Genting Skyway dari Gohtong Jaya ke puncak, dan merupakan paling laju di dunia pada pembukaannya.
  • Ia memiliki gondola paling panjang di Asia Tenggara, sama ada standard atau berlantai kaca, kedua-duanya menyajikan pandangan hutan hujan berusia 130 juta tahun, selain lokasi dan hotel menarik di Genting Highlands.
  • First World Hotel diiktiraf sebagai hotel terbesar di dunia pada 2006 oleh Guiness World Book of Records, sebelum merebut kembali gelaran itu pada 2015 menyusuli sempurnanya pembinaan Menara 3.
  • Genting Strawberry Leisure Farm yang menawarkan pilihan pelbagai sayuran dan bunga adalah ladang strawberi terbesar di Malaysia, di mana anda boleh membeli buah termasuk dengan memetiknya sendiri pada kadar serendah RM8 bagi setiap 100g.
  • Apa yang anda tahu mengenai lebah dan madu? Happy Bee Farm Genting menawarkan pengalaman menarik, termasuk melihat sendiri bagaimana madu dikutip oleh pengutip berpengalaman sambil dihurungi ribuan lebah.
  • Pada keluasan 6,500 kaki persegi, World of Phalaenopsis Genting adalah ladang orkid yang memiliki lebih 390 jenis yang dieksport ke hotel dan restoran bertaraf lima bintang di seluruh Malaysia yang dibuka kepada orang ramai, termasuk bagi mempelajari cara penanamannya.
  • Cipta pengalaman berbeza dengan menghirup udara segar kala menikmati keindahan hutan tropika, iaitu sambil menunggang kuda di Awana Horse Ranch.
  • Pecinta rama-rama pasti menyukai Butterfly Wonderland Genting yang merupakan sebahagian daripada Happy Bee Farm dan menempatkan lebih 100 jenis rama-rama yang bewarna-warni, dikelilingi kehijauan hutan hujan.
  • 45 minit dari Genting Highlands adalah Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Temerloh yang menempatkan lebih 500 gajah liar dari Asia Tenggara yang menawarkan pengalaman terbaik untuk mengenali haiwan ini dengan lebih dekat.