Oleh Malaysia Good News | Gambar twitter@chedetofficial

NOSTALGIA jelas menggamit Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau merasmikan pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19), baru ini yang juga merupakan idea cetusannya, 28 tahun lalu.

Dia bagaimanapun, jelas kecewa melihat perkembangan kini.

Ini kerana, katanya terlalu banyak wang dan masa dihabiskan bagi usaha penyelidikan dalam penciptaan senjata, berbanding memberi perhatian kepada membangunkan perkara yang lebih bermanfaat untuk kemanusiaan.

“Saya bercakap mengenai teknologi dan inovasi,” kata Dr Mahathir. “Kita ada kuasa besar sekarang, iaitu menggunakan mikrocip untuk membuat pelbagai benda, sebaliknya tumpuan (diberi) senjata dan membunuh orang.”

Sebagai contoh, beliau berkata, daripada aspek teknologi dan inovasi, LIMA 19 dijangka berjalan sebagai acara pertunjukan berskala kecil, membabitkan pesawat kecil.

LIMA, menurutnya dicetuskannya dulu untuk dijadikan pameran bagi pesawat ringan dan membangunkan teknologi pesawat.

“Kini, apa yang kita nampak? Ada jet pejuang yang besar. Ini yang kita raikan,“ katanya yang dipetik dalam satu soal jawap pada penutup Forum CEO 2019 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana,  baru ini.

“Apa guna pesawat pejuang ini? Untuk bunuh orang, begitu juga roket yang dipamerkan… untuk apa? Semua ini untuk bunuh orang?”

LIMA yang diperkenalkan pada 1991 sudah memasuki edisi ke15. Dr Mahathir, ketika itu, merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia dengan kali terakhir beliau merasmikannya pada 2003 sebelum mengundur diri.

Dan edisi 2019 lalu adalah kali pertama beliau merasmikannya, sebagai Perdana Menteri ketujuh di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada 1991, sehingga 172 syarikat daripada 20 negara menyertai LIMA dengan edisi terbaru menyaksikan pembabitan delegasi daripada 32 negara, merangkumi 406 syarikat pertahanan dan komersil, di mana 200 daripadanya adalah antarabangsa.

Dr Mahathir berkata, perkembangan semasa memperlihatkan banyak berlaku penyalahgunaan kuasa dan perbelanjaan besar yang tidak seharusnya ditumpu kepada usaha membangunkan teknologi persenjataan semata.

Jelasnya, wang seharusnya dibelanjakan untuk memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada manusia, bukannya dibazir untuk membina senjata dan membunuh orang.

Apatah lagi, katanya apabila pembinaan senjata dibuat bagi melakukan kekejaman.

“Wang yang sebegitu banyak sepatutnya digunakan bagi perkara yang memberi manfaat, bukannya dibazirkan dengan membina senjata,” katanya, berkongsi kekecewaan.