Oleh Malaysia Good News

KALI pertama berjumpa pengundi, calon ini menyepit bibirnya dengan penyepit baju sebagai tanda protes.

R Malarvizhi, satu-satunya calon wanita pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan selepas berakhirnya tempoh dua hari membisu, dia melancarkan manifestonya – cukup daripada sebuah komputer riba.

Kitar semula, antara agenda mantan hos radio berusia 51 tahun ini yang digariskan sebagai antara satu daripada enam manifestonya yang bertema “Fokus Rantau” yang dilancarkan di pekan Rantau, Seremban, malam tadi.

Rantau, menurutnya, perlu menjadi perintis dalam budaya kitar semula di negara ini.

Selain kitar semula, beliau juga menggariskan usaha untuk memperbanyakkan kediaman kos rendah untuk rakyat, mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih bersifat mesra pengguna, membaik pulih infrastruktur di kawasan yang berdepan masalah banjir.

Namun, tidak seperti yang biasa diucapkan pemimpin, beliau mengakui enggan menjadi suara rakyat.

“Saya tidak mahu menjadi suara rakyat. Kerana saya mahu masyarakat yang buku mulut dan bercakap,” katanya memberi penjelasan, seraya memohon pengundi untuk memberikan kemenangan kepadanya.

“Saya minta Rantau untuk mewakili anda di DUN. Berikan Rantau kepada saya.”

Gambar @drwanazizah

Hari pengundin di DUN Rantau akan diadakan pada 13 April ini selepas kerusi itu dikosongkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu yang memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengyisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan.

Permohonan pembatalan dibuat oleh calon PKR, Dr S Streram, berpunca daripada tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang beliau daripada memfailkan kertas pencalonannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 lalu.

DUN Rantau yang mempunyai 20,926 pengundi bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, antara Timbalan Presiden Umno,Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN), Dr Streram (Pakatan Harapan), Mohd Nor Yassin selain Malarvizhi sendiri, kedua-duanya calon Bebas.

Persaingan bagaimanapun, tertumpu kepada calon BN dan PH dengan kelebihan diramal menyebelahi Mohamad yang juga merupakan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum kejatuhan kerajaan pentadbiran BN pada PRU14 lalu.

Malarvizhi yang mendraf manifesto itu berdasarkan idea dan pemerhatiannya, berkata sebelum mengotakan janjinya, dia perlu duduk berbincang dengan pengundi Rantau  mengenai apa yang boleh dilakukan untuk kebajikan masyarakat.

Malam pelancaran manifesto Malavizhi itu turut dihadiri Kuan Chee Heng, aktivis yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang sebagai tanda sokongannya kepada calon wanita itu.

Pernah bertanding pada PRK Dun Semenyih, baru ini atas tiket Bebas, beliau bagaimanapun meramalkan bahawa Malarvizhi akan kehilangan deposit.

“Saya menyokong usaha beliau dalam mengangkat suara rakyat, namun saya rasa dia akan kalah deposit,” katanya sebagaimana dipetik media. “Negara kita tidak ada trend untuk memilih calon dan mereka masih pegang atau memilih parti.”

Sungguhpun sedih melihat cara Malarvizhi yang terpaksa berkempen dalam keadaan serba kekurangan, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkannya.