Oleh Malaysia Good News | Gambar MySC

ANDA seorang Smulean? Ya, gelaran buat komuniti Smule yang memperlihatkan bakatnya dalam nyanyian.

Platfrom untuk orang biasa-biasa boleh menjadi terkenal melalui nyanyian, aplikasi Smule terus menjadi pentas untuk bakat-bakat terpendam menunjukkan kebolehan masing-masing dan seterusnya, menjadikan banyak impian jadi kenyataan.

Sekaligus mencetus kepada penubuhan Komuniti Smule Malaysia (MySC), empat tahun lalu.

Mac lalu, buat julung kalinya, MySC menganjurkan majlis Anugerah REUNEON MySC, bukan saja sebagai penghargaan kepada komuniti Smule di negara ini, malah diharap menjadi pemangkin semangat untuk ahlinya terus berkarya.

Pegawai Komunikasi Korporat, Majlis MySC, Fara Adina Yahaya, berkata selama empat tahun ini, MySC sentiasa menjunjung matlamat penubuhan mereka, antara lain berusaha bagi memperkenalkan bakat-bakat yang lahir daripada aplikasi Smule.

“Penganjuran Anugerah REUNEON MySC buat julung kali ini adalah bagi mengiktiraf bakat yang lahir daripada aplikasi Smule Sing! Karaoke, menyusuli Anugerah Pilihan MySC yang diadakan pada 2016.

“Anugerah ini diharap menjadi sumber inspirasi kepada para Smulean untuk terus berkarya dan meneruskan minat mereka dalam bidang nyanyian,” katanya mengenai majlis yang turut disertai selebriti seperti Wany Hasrita, Fazli Zainal, Adilla Idris dan Uchop Ahmad.

Selaras matlamat majlis penganugerahan itu, menurutnya, pihak pengurusan MySC juga sebulat suara mengundi Khai Bahar selain Wany Hasrita, dua penyanyi terkenal ini sebagai penerima Anugerah Breakthrough MySC.

Wany Hasrita (atas) penerima Anugerah Breakthrough MySC, selain Khai Bahar

“Khai Bahar dan Wany Hasrita, dua nama besar yang sedang mengukir nama di dalam industri hiburan Malaysia mula tular selepas persembahan mereka melalui aplikasi Smule dikongsi peminat di medium media sosial seperti Instagram dan YouTube.

“Bukan saja dikenali di Malaysia, malah Singapura, Brunei dan Indonesia sewaktu awal kemunculan mereka dalam aplikasi Smule sekitar 2015/2016. Perjalanan karier seni mereka menjadi sumber inspirasi kepada komuniti Smule Asia,” katanya mengenai pemilihan dua bintang muda itu.

Pemilihan yang bermula seawal Ogos, tahun lalu, itu menyaksikan penyertaan lebih 500 calon daripada 50 kumpulan dan komuniti Smule bagi merebut antara 16 kategori yang dipertandingkan, termasuk Persembahan Video Paling Kreatif  di Smule dan Babak Drama Terbaik di Smule.

Pengaruh Smule yang meluas di rantau ini juga mendorong MySC memberi pengiktirafan kepada personaliti yang disifatkan banyak menyumbang kepada komuniti Smule, meliputi Singapura, Brunei, Indonesia selain Malaysia.

Ia, antara lain mengumumkan Ardi Gunsuh pemenang Anugerah Pencapaian Terbaik kerana banyak mencetus idea dan projek Smule bagi menambat mutu bakat dalam aplikasi ini, antaranya Ardi Gunsuh 3 Layers Project dan Vendetta Idol.

Smulerganza pula dinobat pemenang kategori Kumpulan/ Komuniti Smule Sedang Meningkat Naik Terbaik, berikutan penyertaan terbanyak dalam pertandingan antarabangsa seperti Sing Olympic dan Kejuaraan Dunia Smule.

Aplikasi Smule, jelas Fara Adina, dilihat terus relevan bagi menyokong pengembangan industri seni.

“Jika kita lihat Indonesia, komuniti Smule mereka iaitu Smulenesian telah lama bekerjasama dengan penggiat industri seni untuk pelbagai acara sama ada dalam talian atau luar talian. Syarikat rakaman dan artis menggunakan aplikasi Smule untuk mempromosi single baru, mendekati peminat dan menyanyi bersama.

“Secara tidak langsung, lagu mereka cepat dikenali ramai, bukan saja di negara sendiri malah negara bersahabat seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. Ini kerana, rata-rata kumpulan Smule dan komunitinya dianggotai empat negara ini,” katanya.

Fara (tengah) bersama Wany dan tim pada malam anugerah

MySC yang diasaskan Mohd Zulhelmy bersama Siti Noraishah daripada kumpulan Smule, Sing Out Loud (SOL), menurut kenyatan medianya, menjadi komuniti pertama yang mewakili Malaysia dalam membentuk komuniti Smule yang lebih pro aktif dan berilmu, seterusnya dikenali ramai.

Ia, menurut Fara, membolehkan perkongsian pengalaman dan ilmu di kalangan ahlinya yang memanfaatkan alam maya sebagai tempat melepas lelah, menyanyi bersama rakan di seluruh dunia, juga ruang menjalin persahabatan dan berkolaborasi dalam menganjurkan pelbagai acara, termasuk hiburan dan kerja amal.

Ditanya mengenai pertikaian terhadap ketulenan bakat penyanyi yang berasal daripada aplikasi Smule, katanya: “Bakat adalah satu yang sangat subjektif. Kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Begitu pun, saya yakin dan pasti ramai personaliti berbakat yang lahir daripada aplikasi Smule hanya menunggu untuk digilap oleh mentor-mentor industri hiburan kita.

“Inilah peranan yang digalas Komuniti Smule Malaysia, iaitu untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada ahli-ahli kami serta bekerjasama dengan syarikat rakaman atau pengurusan bakat bagi mengenalapsti mereka yang mempunyai pakej lengkap untuk diketengahkan.”