Oleh Malaysia Good News

CUTI sekolah, masa paling banyak dimanfaatkan golongan ibu bapa untuk membawa anak-anak beriadah. Keindahan alam, kawasan air terjun misalnya antara lokasi yang menjadi tumpuan untuk berhibur bersama anak-anak.

Tapi, bagaimana kalau kenangan indah yang diidam sebaliknya menjadi igauan?

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, melalui satu kenyataannya sebelum ini, mengenal pasti 15 lokasi berisiko tinggi yang dikaitkan dengan kejadian mati lemas yang sering berlaku pada musim cuti persekolahan.

Data, menurutnya yang diperolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 309 kes mati lemas berlaku pada tahun lalu saja.

Gambar Twitter @zuraida_my

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 15 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kerana membabitkan lebih daripada lima mangsa di satu-satu lokasi. Sebanyak 182 kejadian mati lemas, katanya dilaporkan di kawasan sungai atau tali air, diikuti pantai (58), lombong atau tasik (39) manakala air terjun (27).

Sungai Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah antara empat lokasi dengan catatan kematian melebihi 10 kes iaitu sebanyak 15, diikuti Pantai Nipah di Bachok, Kelantan (14), Air Terjun Sungai Sendat di Ulu Yam, Selangor (12) selain Sekayu, Terengganu (11).

Biarpun data 2018 menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2017, iaitu sebanyak 327 kes, jurang berbanding 260 kes yang dicatat pada 2016 adalah agak besar.

Sehubungan itu, dalam kenyataannya yang dilaporkan media, Zuraida meminta ibu bapa supaya mengawasai pergerakan anak-anak sepanjang berada di tempat rekreasi, selain mematuhi tanda amaran atau panduan keselamatan apabila berada di kawasan berisiko tinggi itu.

Berikut adalah 15 hot spot dengan angka korban mati lemas melebihi lima orang di setiap lokasi dalam tempoh tiga tahun ini, sejak 2016 yang memerlukan pengunjung, terutama ibu bapa supaya bersikap lebih hati-hati:

Sungai

Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah (15)

Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Sungai Tinggi, Selangor (7)

Sungai Kampung Sabak, Pangkalan Chepa, Kelantan (6)

Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor (6)

Sungai Gasi, Sungai Buluh, Selangor (5)

Pantai

Pantai Nipah, Bachok, Kelantan (14)

Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan (7)

Teluk Bahang, Pulau Pinang (7)

Empangan / Lombong

Empangan Semenyih, Semenyih, Selangor (10)

Empangan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor (10)

Jambatan Stesen KTM, Sungai Buloh, Selangor (5)

Air Terjun

Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor (12)

Sekayu, Terengganu (11)

Lata Berembun, Raub, Pahang (10)

Chamang, Bentong, Pahang (5)