Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

JINGGA mendominasi tona pilihan Hudry Hayat di kanvas naifnya, tempat dia mengangkat kehalusan budaya Melayu di Nusantara yang menjadi latar masa membesarnya di sebuah daerah dingin di Kerinci yang terletak di Sumatera, Indonesia.

Suasana kampung dibentang, dipindahkan di tengah kemodenan Kuala Lumpur, dibuat sebegitu rupa sebagai mengekspresi kerinduan pada zaman anak-anaknya.

Juga sebagai platform untuk sebuah penceritaan mengenai keindahan budaya Melayu itu sendiri, terutama buat anak-anak zaman ini.

“Inspirasi saya datang daripada kehidupan saya selama dibesarkan di kampung,” kata pelukis berusia 52 tahun itu yang cenderung pada seni lukis naif yang bersifat keanak-anakan. “Saya sering tertanya adakah anak-anak sekarang, terutama yang dibesarkan di kota, tahu bagaimana rasanya bermain lopak, menangkap ikan di sawah atau berkubang bersama kerbau?

“Seakan ada rasa gusar apabila memikirkan bagaimana kalau suasana kampung dan budaya Melayu itu dilupakan. Saya tercari-cari apakah caranya untuk saya terus menghidupkan keindahan budaya Melayu itu supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Itu bagaimana saya menemui seni lukis gaya naif dan melaluinya saya beroleh kepuasan dalam erti kata sebenar.”

Seni lukis gaya naif platform Hudry kongsi keindahan budaya Melayu

Hudry yang berhijrah ke Malaysia pada awal tahun 90an lazim menghidupkan suasana kampung itu menerusi rumah tradisional Melayu dengan gambaran kanak-kanak bermain, daripada congkak ke layang-layang malah memanjat pokok, antaranya.

Ibu bapanya merupakan petani dan tanpa pendidikan formal dalam seni, dia belajar sendiri untuk membina kerjaya sebagai pelukis. Kehidupan masyakarat Melayu kampung di negara ini, jelasnya tidak jauh beza dengan di tanah kelahirannya.

Peluang bermentorkan pelukis terkenal, Yusuf Gajah lebih 10 tahun lalu membuka matanya untuk meneroka bakat seninya. Dia mengakui senang kerana karyanya mula meraih tempat di ruang pameran, terbaru lewat RONAisme di Galeri Shah Alam yang diadakan secara berkumpulan sehingga 27 Mac ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang merasmikan pameran berkenaan, sebelum ini, mendapati 80 peratus daripada karya RONAisme bertema desa di negara ini yang disifatkan mempunyai nilai tinggi dan menyarankan masyarakat memandang bakat pelukis terbabit.

RONAisme mengumpulkan 80 karya daripada 26 pelukis naif, termasuk Zurin Shaari yang pernah merangkul kejuaraan dalam pertandingan batik Piala Seri Endon, mengilustrasi kehidupan hariannya sebagai pencinta haiwan dan seorang ibu menerusi karyanya; Chekri Mansor, Tham Siew Moi, Ali Akbar Othman selain Elly Nor Suria Md Zainudin yang juga merupakan Pereka Bentuk dan Pengasas Konsep RONAisme.

Raja Kamarul Bahrin di majlis perasmian RONAisme di Galeri Shah Alam

Senyum, Hudry bagaimanapun mengakui tidak semua menghargai gaya naif disebabkan pendekatan keanak-anakannya.

“Bukan tidak pernah orang menegur, lukisan apa ini macam budak-budak melukis? Anak aku pun boleh buat, kata sesetengahnya pula. Sebagai manusia biasa, bohonglah kalau saya kata hati ini tidak terasa. Sebagai pelukis, jujur saya katakan kita pun ada ego.

“Ada masanya, rasa macam mahu berpatah balik dan sedih juga apabila memikirkan kenapa orang luar lebih menghargai. Jadi, saya andaikan ini hanya sebahagian asam garam kehidupan. Saya bersabar terhadap kritikan dan ambil semangat daripada penghargaan diberikan,” katanya.

Di Pasar Seni Kuala Lumpur, Hudry Hayat Art Gallery jadi tempat untuknya mempamer kerja seninya. Jadi tumpuan pelancong asing, ia membolehkannya sentiasa mengumpul penggemar baru termasuk yang dijalin di media sosial.

“Baik buruk, saya bersyukur. Tanpa pendidikan formal, dulunya bermula dengan melukis hanya di cawan dan pinggan, ia memang bukan perjalanan yang mudah namun pengalaman itu menjadikan pencapaian hari ini lebih bermakna.

“Saya tidak akan berhenti berkarya. Tiada yang mustahil dalam dunia ini asalkan kita berusaha, selebihnya saya berserah kepada Tuhan,” katanya lagi.