Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

PAGI ini, Ahmad Syafi Ahmad Yusri, 10, tahu dia harus tampil segak. Baju Melayu biru, lengkap bersamping dan dipadan pula dengan songkok baru yang dibelikan ayah, Dr Ahmad Yusri Bani Hashim, semalam, memberitahunya ini hari yang istimewa.

Sudah lama dia dan beberapa rakan daripada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor atau digelar Orkids, menanti kehadiran hari ini.

Juga, ibu bapa mereka yang berharap berbaloilah latihan tarian yang dijalani anak-anak ini selama beberapa minggu ini untuk persembahan sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia yang disiarkan secara langsung oleh TV3.

Usai persembahan, live di MHI. Gambar Ihsan Dr Ahmad Yusri

Hari sambutan ini, menurut Presiden Orkids, Noora Mat Rifin, dengan moto “Leave No One Behind”  diharap akan mencetuskan kesedaran masyarakat, terutama bagi menepikan prejudis terhadap anak-anak sindrom down.

“Apa yang kami nampak sebenarnya masalah prejudis. Sebenarnya masyarakat tidak faham, sebab itu persepsi mereka terhadap anak-anak kami berbeza sedikit. Memang ada kalanya kita rasa jadi masalah apabila anak-anak kita ini, mereka (masyarakat) tidak faham,” kata Noora dalam satu temubual, sebelum ini.

Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, Orkids yang bertempat di Kampung Tunku, jelasnya adalah antara pusat swasta yang menyediakan program pembelajaran bagi anak-anak sindrom down, berumur antara tiga hingga 14 tahun yang menekankan pada pendekatan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Ia kini mempunyai 30 pelajar yang menghadiri kelas setiap dua kali seminggu, di bawah seliaan enam guru pendidikan khas.

“Program pembelajaran kami menekankan pada anak-anak ini untuk membaca, menulis dan mengira. Di samping itu, kita juga ajar mereka kemahiran hidup untuk mereka lebih mudah berdikari dan cara mereka menguruskan diri.

“Selain itu, mulai 2019 ini kita mula terapkan pra-vokasional untuk anak-anak sindrom down ini. Kita ada pelajaran memasak, menguruskan pakaian, juga berkebun,” tambahnya.

Di sebalik keadaan fizikal, Noora berkata, anak-anak sindrom down sebenarnya boleh belajar biar pun cara pembelajaran mereka tidak sama sepertimana anak-anak normal, di mana mereka menggunakan banyak praktikal dan secara berulang.

“Jadi, kita kenalah buang persepsi yang mereka tidak boleh bercampur, mereka kurang pandai, mereka ini pelik. Kita kena hilangkan benda tu.” – Noora

“Jadi, bukan bermakna anak-anak ini tidak boleh belajar. Oleh itu, program pra-vokasional ini diharap sekurang-kurangnya membolehkan mereka hidup berdikari, tahu ciri-ciri keselamatan, mengurus pakaian. Supaya dengan adanya latihan sebegini, diharap mereka boleh bekerja satu hari nanti.

“Cabaran Orkids ialah masalah dana dan cikgu berkelayakan yang mencukupi, selain kita masih tiada pusat lengkap yang boleh menampung keperluan untuk anak-anak ini apabila dewasa. Di luar negara, golongan sindrom down diterima bekerja di restoran, jadi pembantu pejabat berbanding masyarakat kita yang masih berasa mereka tidak boleh buat (kerja), jadi tidak sokong untuk ambil bekerja,” katanya.

Sering dilabel kurang upaya dan tidak pandai, beliau menyifatkan kesedaran terhadap golongan sindrom down harus bermula daripada bangku sekolah kerana anak-anak ini dibiar terasing, tidak bercampur dengan kanak-kanak normal menyebabkan mereka kurang biasa dan tidak memahami.

“Kita nak tekankan kepada masyarakat di luar sana, mereka kena lebih menyesuaikan diri pada anak-anak kita yang kurang upaya. Jadi, kita kenalah buang persepsi yang mereka tidak boleh bercampur, mereka kurang pandai, mereka ini pelik. Kita kena hilangkan benda tu.

“Sebab yang penting, bukan anak-anak kurang upaya itu yang kena sesuaikan diri dengan masyarakat di luar itu, tapi masyarakat di luar yang kena sesuaikan diri dengan anak-anak kurang upaya. Sebab dengan cara itu saja mereka boleh sokong anak-anak kita ini,” tambahnya.

Presiden Orkids, Noora menggesa masyarakat buang sikap prejudis terhdap anak-anak sindrom down.
Muhammad Fathi bersama abangnya

Sehubungan itu, kata Noora, moto sambutan Hari Sindrom Down Sedunia kali ini seiring dengan harapan agar masyarakat lebih menerima dan menyokong anak-anak istimewa ini, termasuk pihak kerajaan dan korporat.

“Maksud (moto) Leave No One Behind adalah sebagai memberitahu semua orang bahawa anda perlu menjadi sebahagian daripada kami, itu yang kami mahukan dan juga kesedaran masyarakat yang anak-anak kami ini boleh belajar. Kami perlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat supaya kami dapat menguruskan pusat sebegini, boleh pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Sabar, Siti Nurul Amanina Abdullah, 27, dilihat membetulkan langkah tari kumpulan anak-anak sindrom down itu. Selain membuat koreografi, dia yang merupakan pemegang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, juga adalah salah seorang guru di Orkids.

“Jangan pandang serong pada anak-anak sindrom down,” katanya, menitipkan pesan. “Layani mereka seperti kanak-kanak normal supaya kita dapat ajar dia berdikari, boleh mengurus diri sendiri.

“Dapat urus diri sendiri dah okay. Sekarang ibu bapa ada lagi, mana tahu esok ibu bapa sudah tiada, kalau tidak boleh urus diri sendiri macam mana dia di kemudian hari?”

Berkelulusan dalam jurusan Psikologi, Thaun Xiang Yuan, 25, mengakui senang mengajar anak-anak sindrom down.

Sependapat dengan Siti Amanina, dia menyifatkan cara terbaik untuk menolong golongan ini ialah dengan melayani mereka seperti anak-anak normal.

“Tengok sebagai kanak-kanak normal, cari jalan untuk bantu mereka. Memanglah mereka istimewa tapi anda tidak payah layan sebagai istimewa. Hanya terima mereka seadanya. Fokus pada apa yang mereka boleh (lakukan), bukan yang tidak boleh. Fokus pada apa yang mereka bagus lakukan, bukan apa yang mereka tidak bagus,” katanya.

Masyarakat, katanya boleh mula mengubah persepsi dengan tidak melihat keburukan atau kelemahan anak-anak ini.

Seperti Syafi, Muhammad Fathi Mansor, 14, juga adalah antara yang menyertai kumpulan penari Orkids. Dia senyum lebar, tampak gembira apabila melihat kehadiran abang yang mahu menjemputnya, usai latihan di Orkids. Sekilas, dia nampak seperti remaja normal.

“Semua prejudis itu haris dikikis. Apa yang Allah buat, Allah buat semua benda indah. Allah tidak buat benda yang hodoh. Apa yang hodoh adalah kita manusia kerana prejudis.” – Azizah

“Anugerah Allah, dia sungguh istimewa,” kata ibunya, Azizah Abdul Aziz, 54, mengakui anak bongsunya itu memang akrab dengan abangnya. “Itulah, kalau dia pergi ke rumah abangnya, saya akan rasa kesunyian. Kalau bapa dia balik (ke rumah), apa dia buat, dia akan usap kepala bapanya.

“Kasih dia 100 peratus, tiada bersyarat.”

Penyayang, sensitif, mendengar kata. Itu, antara sifat semulajadi rata-rata anak sindrom down, jelas Azizah.

“Dia tiada niat, dia tulus. Sebab itu, kalau dia didiskriminasi saya memang terasa. Dia tidak patut dilayan sebegitu kerana pada akhirnya, Allah tidak akan tanya dia. Allah akan tanya kita, apa yang telah anda lakukan terhadap anak ini, (adakah) abaikan dia, abaikan pelajaran dia.

“Semua prejudis itu harus dikikis. Apa yang Allah buat, Allah buat semua benda indah. Allah tidak buat benda yang hodoh. Apa yang hodoh adalah kita manusia kerana prejudis. Dan prejudis itulah yang menjadikan mereka hodoh. Allah buat semua benda indah, sempurna,” katanya lagi.