Oleh Malaysia Good News  | Gambar @upinipinofficial

JENAMA animasi terkenal, Upin Ipin jadi produk kreatif kedua Malaysia dapat menembusi antara pasaran terbesar dunia, China.

Ia sekaligus melakar sejarah buat industri seni tanahair berikutan termeterainya perjanjian persefahaman antara penerbit, Les’ Copaque Production Sdn Bhd dengan Beijing Animation dan Gaming Industry Associatian (Bagia).

Pengarahnya, Burhanuddin Md Radzi, berkata beliau berharap hasil usahasama dengan syarikat dari China itu akan membuka lembaran baru, sekaligus melorongkan jalan bagi membangunkan industri kreatif di Malaysia.

Ini kerana, katanya pasaran besar China adalah antara yang sukar ditembusi.

Jelasnya, perjanjian persefahaman itu adalah kolaborasi bersama persatuan yang dinaungi lebih 250 syarikat filem animasi China.

“Kita akan tengok apa yang boleh dibuat bersama seperti filem animasi baru, pemasarannya dan tayangannya serta kita juga akan lihat bagaimana untuk mengadakan ekspo animasi untuk pasaran Asia Tenggara,” katanya kepada media.

Peluang Upin Ipin menembusi pasaran China itu dilihat tidak ubah seperti menjejaki langkah Shila Amzah, penyanyi yang lebih dulu meraih perhatian dengan keunikan suara, selain  penampilannya yang berhijab.

Shila yang kini hamil anak sulung selepas diijabkabulkan dengan Haris Idraki Elias pada 19 April tahun lalu, sebelum ini dianugerahi Penyanyi Wanita Antarabangsa Paling Popular pada Festival Muzik Asia 2018 di Shenzhen.

Usahasama itu juga, menurut Burhanuddin, mencerahkan peluang untuk filem terbaru, Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal ditayangkan di China. Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Filem 3D itu yang menelan belanja RM20 juta bagi kos produksi dan memakan masa lima tahun untuk disiapkan, akan memulai tayangannya di seluruh negara, lusa. Ia juga akan ditayangkan di Taiwan, selain Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Ia mengisahkan penemuan sebilah keris yang digelar Keris Siamang Tunggal oleh pasangan kembar Upin dan Ipin semasa membersihkan bangsal Tok Dalang. Penemuan itu membawa mereka mengembara ke Inderaloka, di mana mereka bertemu karektor cerita dongeng Melayu seperti Mat Jenin, Si Tanggang dan Bawang Putih Bawang Merah.