Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

“ADA masa saya sendiri menyapu, membersihkan lantai di salon,” kata Elize Lee, 52.

Dilihat membuat kerja rencam bukan masalah buat mantan personaliti TV itu yang menimba pengalaman menjadi penyampai berita menerusi saluran RTM sejak 1990, selama 20 tahun.

“Biarpun saya kini seorang majikan, namun saya tidak rasa canggung untuk buat kerja-kerja yang biasanya dilakukan pekerja. Jika hari sibuk, kalau pekerja tidak sempat membersihkan rambut di lantai, saya sendiri buat. Saya tidak pandai mendandan atau memotong rambut, jadi saya menyapu sajalah!” katanya, ketawa.

Akuinya, selepas meninggalkan dunia penyiaran sekitar 2010, persaraan awal memberi kesempatan untuknya meluangkan masa bersama keluarga. Juga, peluangnya melakukan apa yang diingininya, termasuk mengelilingi dunia.

“Jelas, bersara bagaimanapun tiada dalam kamus hidup saya,” kata wanita yang murah senyuman ini. Dia mengakui sudah selesa walaupun tidak bekerja, namun dia merindui hidup berkerjaya.

Sambil menguak rambutnya, Elize mengakui empat tahun tidak bekerja atau lebih tepat, tidak merasa “duit gaji sendiri” membuatkan dia berasa tidak senang duduk. Apatah lagi, menurutnya dia sudah biasa berdikari dan tidak betah bergantung hidup pada suami semata.

“Sebab saya sudah pun mula rasa bosan,” kata personaliti jelita ini, bercerita bagaimana keadaan itu mendorong pembukaan salon In Style Studio di Nu Sentral Kuala Lumpur, bersama seorang penata gaya, sekaligus memulai cabaran barunya di dalam dunia perniagaan.

Elize yang sejak lima tahun lalu, membahagikan masanya antara menguruskan salon dan kerja-kerja kebajikan jika tidak berada San Francisco, di mana anak tunggalnya yang kini berusia 18 tahun, melanjutkan pengajian, mengakui dia sebenarnya memang seorang yang gemar bekerja.

“Selama 20 tahun di dalam dunia penyiaran, pada masa sama saya sebenarnya bekerja sepenuh masa dalam bidang hartanah. Saya bekerja 9 hingga 5, habis kerja saya ke RTM untuk membaca berita. Saya kaki bekerja agaknya, tapi saya tidak menganggap ia membebankan kerana daripadanya saya beroleh kepuasan,” katanya.

Dia akur bahawa kecenderungan anak-anak muda sekarang ini, terutama di kalangan mereka yang digelar Generasi Y dan Z, berbeza berbanding zamannya.

Ini bersesuaian dengan laporan Budaya Kerja Malaysia 2018 oleh WOBB, sebuah platform pencarian kerja, mengenai dapatan kajian, antaranya berhubung apa yang dicari oleh Generasi Y dan Z di Malaysia di dalam budaya kerja majikan berpotensi, sekarang ini.

Empat penemuan penting dibentangkan, antaranya 69 peratus daripada responden yang ditemuramah lebih menghargai budaya positif sesebuah syarikat, berbanding jenama syarikat berprestij. Budaya positif termasuk pengembangan kerjaya, hubungan sosial yang tulus antara sesama pekerja dan kebebasan untuk membuat keputusan serta menyatakan pandangan.

Di dalam pencarian kerja, seramai 41.4% responden memilih masa bekerja yang fleksibel sebagai ciri utama, diikuti manfaat perubatan (23%), diikuti kelonggaran untuk memakai pakaian kasual (6.4%) dengan gaji tinggi berada di tempat keempat, iaitu 6.2%. Seramai 94% responden menganggap gaji tinggi bukan faktor utama dalam memilih pekerjaan.

Laporan yang disediakan sebagai panduan bagi membolehkan majikan merekrut bakat terbaik daripada kalangan generasi itu, menyimpulkan prestij dan kemewahan tidak sebegitu penting sebagaimana semasa Generasi X mendominasi dunia pekerjaan. Bagi Generasi Y dan Z. apa yang lebih diutamakan ialah budaya dan pengembangan diri.

Elize berkata, dia memahami bagaimana majikan sekarang perlu mengikut perubahan masa namun tidak bermakna perlu mengorbankan prinsip penting dalam dunia kerjaya. Bagaimana, katanya seandainya generasi muda tidak punya rasa tanggungjawab tinggi atau keghairahan dalam  satu-satu pekerjaan?

“Saya ada lapan pekerja yang berdedikasi, namun paling muda sekarang ini berusia 30 tahun. Saya pernah mempunyai beberapa pekerja lebih muda, berusia awal 20an kerana menjangkakan idea-idea baru, segar tapi mengecewakan daripada segi komitmen. Cari kerja, memilih. Nak kerja bagus tapi mudah.

“Dalam bidang servis, tahap profesionalisme seorang pekerja adalah penting untuk bisnes. Saya tak kisah bayar lebih untuk tenaga berpengalaman berbanding orang baru yang mahu kita pula ikut rentak mereka. Ramai majikan sekarang ini menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan bagi pengembangan diri dan kerjaya pekerjanya, tapi kalau komitmen pun tiada, macam mana?

“Ada juga, belum apa-apa sudah buat perangai. Nak sukses dalam kerjaya? Betulkan sikap dulu!”  katanya yang percaya komitmen adalah kunci kejayaan dalam apa jua bidang diceburi. “Saya sendiri ada pelbagai insentif buat pekerja, termasuk fleksibiliti dalam bekerja, peluang membaiki kerjaya antaranya menerusi latihan percuma tapi apa yang saya perlukan adalah komitmen.”

Ditanya lagi, jelas Elize: “Jika anda suka satu-satu kerja itu, beri perhatian lebih dan belajar untuk tidak bersikap terlalu individu, tapi cuba beri lebih dalam setiap tugasan. Tanpa komitmen, tugasan senang pun jadi susah dan sudah tentu, dalam era teknologi yang makin mencabar, perkara terakhir yang kita perlukan ialah generasi manja yang tak tahu berdikari.”