Oleh Malaysia Good News

Penstriman selama 17 minit, tanpa gangguan, insiden pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand telah membangkitkan persoalan: Bagaimana ia boleh dibiarkan Facebook?

“Facebook boleh melakukan lebih untuk menghentikan sebahagian daripada ini,” kata Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, menerusi akaun Twitter @tonyfernandes.

“Saya sendiri merupakan mangsa kepada banyak (berita) bitcoin palsu dan cerita-cerita lain. Penstriman 17 minit secara langsung mengenai pembunuhan dan kebencian! Ia perlu dibersihkan dan bukan hanya memikirkan soal kewangan.“

Jenama yang dibangunkan Mark Zuckerberg itu, jelasnya lagi, adalah sebuah platform hebat untuk pengguna berkomunikasi.

“Cuma (insiden) New Zealand terlalu melampau untuk saya terima, selain beberapa isu,” katanya, merujuk insiden yang mengorbankan 50 mangsa dan menyebabkan 50 lain cedera. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun daripada keluarga imigran Somalia, disahkan sebagai korban paling muda.

Penembak, seorang warga Australia yang berusia 28 tahun, telah bersiaran secara langsung di Facebook, bagaimana dia menyerang dan melepaskan tembakan di dua masjid ketika umat Islam sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat, menggunakan aplikasi yang direka bagi peminat sukan ekstrim.

Facebook, menurut CNN Business, hanya mengetahui mengenai penstriman kejam itu selepas dimaklumkan Polis New Zealand. Mia Garlick daripada Facebook New Zeland, dipetik berkata kedua-dua akaun Facebook dan Instagram penembak berkenaan, juga videonya, dipadam sebaik mereka mengetahuinya.

Sebanyak 1.5 juta video di seluruh dunia berhubung insiden tembakan itu dipadam dalam masa 24 jam selepas kejadian berkenaan, di mana lebih 1.2 juta video disekat semasa dimuat naik. Semua versi video yang sudah disunting juga dipadam sebagai menghormati mangsa dan pihak berkuasa.

Ironinya, tahun lalu, Facebook mengakui mempunyai teknologi yang dapat mengawal kandungan di alam maya dengan keupayaan mengesan 99% kandungan berkaitan pengganas sebelum ia dilaporkan, 97% kandungan keganasan dan grafik, dan 96% membabitkan nuditi.

Protes, Tony semalam turut mengumumkan  mengenai penutupan akaun Facebooknya yang mempunyai 670,000 pengikut.

“Sudah tutup akaun Facebook saya yang mempunyai 670,000 pengikut. Sedang memikirkan Twitter pula. Sama ada mahu menutup atau meneruskannya. Banyaknya kebencian yang tersebar di media sosial kadang mengatasi kebaikan.

“Tapi di Twitter, perjuangan untuk saya diteruskan,” katanya yang mempunyai 1.3 juta pengikut di Twitter.

Sehari sebelum itu, Tony yang juga merupakan Timbalan Pengerusi pasukan bola Inggeris, QPR, mengakui dia menyukai media sosial, namun selepas insiden tembakan itu dia mula memikirkan apakah dia perlu kekal di Facebook.

“Pembunuhan di New Zealand terlalu menyedihkan,” katanya, menerusi Twitter, menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka. “Orang tidak berdosa yang hanya mahu bersembahyang. Tapi apa yang lebih teruk ialah sesetengah reaksi sebahagian media dan ahli politik. Sedih dan termangu hari ini.”

Selain penstriman secara langsung, penembak berkongsi manifesto yang merujuk teori konspirasi neo-Nazi dan mengenai supremasis kulit putih melalui Twitter di akaunnya, sebelum memulai pembunuhan, menyamai permainan video popular, PUBG.

Dia, menerusi penstriman itu juga meminta audiens melanggan di PewDiePie, merujuk YouTuber terkenal, Felix Kjellberg yang mengendalikan saluran dengan paling ramai langganan, iaitu 89 juta. Kjellberg, menerusi akaun Twitternya yang diikuti 17 juta orang, jelas enggan diasosiasi dengan penembak itu, membalas, “Saya rasa betul-betul jijik mendengar nama saya diucapkan oleh orang sebegini.”