Oleh Malaysia Good News | Gambar Mafidz Music Management

TAHUN lalu di Jakarta, 2019 di Kuala Lumpur pulalah!

Enam bulan selepas meluncurkan album Ada Angin & Hati, Mafidz meneruskan langkah bagi memperkukuhkan tapak dalam industri muzik tempatan melalui showcase sulung mereka di Kuala Lumpur pada 23 Mac ini.

Bukan sembarangan bakat tentunya apabila pendukung Hujan, Noh Salleh menyebut album berkenaan sebagai “Album of the Year!”

Ditubuhkan pada 2016, menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Mafidz yang turut menggabungkan unsur muzik Nusantara ingin memberi warna kepada industri muzik dengan lagu-lagu berunsur positif dan berjiwa rakyat.

Band folk-pop ini yang perlahan menerobosi dunia muzik, antaranya dengan Igauku, lebih dulu memikat penggemar scene indie Indonesia pada International Indie Music Festival di Jakarta, Oktober tahun lalu, iaitu hanya sebulan selepas debut.

Festival itu, antara yang terbesar di rantau ini, menyaksikan band yang dianggotai tiga beradik itu – Megat Hafidz (vokal), Megat Fazly (vokal dan gitar akustik) dan Megat Aizzat (vokal dan perkusi), beraksi bersama ratusan pemuzik dari lebih 30 negara.

Diiringi pemuzik double bass, piano, gitar elektrik dan cello menerusi rakaman dan persembahan, pembabitan Mafidz ini dianggap sebagai meneruskan legasi bapa mereka, Allahyarham Megat Ismail Megat Ibrahim yang juga seorang komposer.

Megat Ismail merupakan pencipta, antaranya Fikirkan Boleh dendangan asal Metropolitan, selain lirik termasuk menerusi Untukmu Ibu yang dipopularkan Exists.

Kembali mengenai showcase, ia yang diadakan bersempena pelancaran album mereka juga adalah sebagai menghargai media dan peminat yang mendukung kehadiran mereka di dalam industri muzik tempatan.

Dijadual berlangsung di Angkasa Space, 1-1 Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras bermula jam 8 malam, persembahan mereka turut menampilkan Margasatwa dan Kolar Hijau sebagai band pembukaan. Tiket berharga RM40 boleh didapatkan melalui WhatsApp ke 011-23454169