Oleh Malaysia Good News | Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KLIP rakaman seorang bapa menangis, memohon agar anaknya yang merupakan salah seorang mangsa pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, diselamatkan telah menyentuh hati Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, bertitah Baginda Sultan Johor telah berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran.

Sumbangan itu, titah Permaisuri Johor lagi, juga bagi membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat melengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.

“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman, di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.

“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi Baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office yang dikongsi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Laporan media menyebut, susulan kes pencemaran toksik berikutan pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, minggu lalu, sehingga kini menyaksikan seramai 947 mangsa telah mendapatkan rawatan awal, manakala 111 sekolah diarah tutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Dr Sahruddin Jamal, melalui satu kenyataannya kepada media, dipetik berkata seramai 209 mangsa dimasukkan ke dalam wad di empat hospital daerah, manakala lapan lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI). Mangsa yang ditempatkan di ICU dilaporkan stabil.

Sebanyak 2.43 tan sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim juga dikumpul di dalam operasi pembersihan pada hari pertama kejadian dilaporkan, 7 Mac lalu.

Sultan Johor, menerusi kenyataan sebelum ini, murka dan kesal terhadap mereka yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia itu sehingga memberi kesan buruk kepada murid, pelajar sekolah serta orang awam dan menggesa siasatan menyeluruh diambil.

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya.

“Saya berasa amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang hanya melakukan tugas – seperti pemandu ambulans, pekerja kantin sekolah,” titah Baginda.

Satu entri berasingan, “Doa untuk Pasir Gudang” yang diiringi #prayforpasirgudang bersama nukilan “Semoga kita semua di bawah lindungan Allah SWT” yang dimuat naik, sehingga kini mencapai hampir 9,000 tanda Like dan mendapat 1,700 perkongsian.

Seorang pengguna akaun Patrick K P Goh, menerusi ruangan komen, menulis “Semoga ini menjadi pengajaran untuk kerajaan. Jangan ambil mudah perkara dan hidup rakyat. Tindakan perlu diambil segera dan bukan hanya tidak peduli dengan keselamatan rakyat.”

Rata-rata, termasuk dari luar Johor malah Singapura, juga menyanjungi keprihatinan Sultan Johor terhadap kes berkenaan.