Oleh Malaysia Good News | Gambar IG @malaysiaairlines

DISKAUN sehingga 25 peratus, sah sehingga tengah malam ini, diberi untuk tempahan perjalanan bersama Malaysia Airlines ke destinasi kegemaran, antaranya Hong Kong, Phnom Penh dan Sydney.

Dibuka selama 48 jam, bermula semalam, ia bersempena meraikan kemenangan syarikat penerbangan negara itu yang merangkul Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Pelancongan Antarabangsa, Majlis Antarabangsa Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (Patwa) 2019 di ITB Berlin, Jerman.

Malaysia Airlines, menerusi satu entri yang dikongsi di Instagram menggunakan akaun @malaysiaairlines, tawaran potongan harga itu dibuat sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pelanggan di atas undian mereka.

“Apa lagi cara terbaik untuk meraikan (kemenangan) berbanding berkongsi kegembiraan ini bersama anda semua?” menurut kenyataan yang dimuat naik, semalam.

“Untuk 48 jam sahaja, nikmati potongan harga sehingga 25% daripada harga tambang ke destinasi kegemaran anda seperti Hong Kong, Phnom Penh, Sydney dan banyak lagi!”

Tiket boleh ditempah melalui agen pelancongan terpilih atau dibuat dengan melayari laman sesawang Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com. Tempahan sah untuk penerbangan antara sekarang sehingga 31 Mei ini.

Majlis penganugerahan itu yang memasuki tahun ke-18 adalah antara anugerah paling dinanti di dalam industri pelancongan.  Patwa mengiktiraf individu dan organisasi yang cemerlang dalam mempromosi pelancongan, membabitkan syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan, operator pelancongan, destinasi, badan kerajaan dan kementerian pelancongan.

Sementara itu, kemenangan Malaysia Airlines ini mendapat reaksi bercampur daripada netizen, antaranya @zimyzyan mengenai “kredibiliti anugerah ini dan sejauh mana kebenaran dan keaslian proses perjurian.” Jelasnya, “sukar untuk percaya MH mengatasi syarikat penerbangan Asia lain seperti SQ (Singapura), Emirates, ANA (Jepun), Qatar dan sebagainya.”

Dan tidak kurang mereka yang menyifatkan kemenangan itu lebih bersifat “syok sendiri.”

Begitu pun, sebahagian besar melahirkan rasa bangga di atas penganugerahan berkenaan, antaranya @aresh_arul yang menyifatkan syarikat penerbangan ini dijunjung oleh kakitangannya, “juruterbang, pramugari… bukan pihak pengurusannya. Syarikat penerbangan ini dibina di atas hospitalitinya.”

Kata pemegang akaun @klnirav pula, walaupun anugerah itu mungkin tidak begitu dikenali namun perlu berasa bangga terutama dengan kakitangan yang berusaha sebaiknya di dalam skop dan sekitaran yang disediakan pihak pengurusan.

Manakala @cheerfulyip berpandangan “lebih banyak promosi (penurunan harga) dengan mengekalkan tahap di sepanjang perjalanan” akan mendorong lebih ramai pengembara kembali menyokong Malaysia Airlines.

Pemegang akaun @mohdzhafee lebih patritotik, berharap agar “WAU yang terbang itu kekal terbang tinggi.”