Oleh Malaysia Good News | Gambar Kimberly-Clark Malaysia

SEORANG penari berhijab yang penuh aspirasi, seorang sukarelawan sosial, seorang penyelidik penyakit kusta dan seorang lagi, pengamal seni.

Mereka, empat indvidu dengan latar belakang berbeza, namun semuanya berkongsi keinginan yang sama iaitu keazaman yang tinggi dalam mengejar impian, sekaligus memperkasa diri sebagai insan yang bernama wanita.

Penerima pertama #SHECAN FUND anjuran jenama penjagaan wanita terkemuka di Malaysia itu ialah pengamal seni, Nawwar Shukriah Ali, 34; penari, Aina Amirah, 23; penyelidik, Atikah Abdul Rahim, 25 dan sukarelawan, Nur Adzratull Iffah, 20.

Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark, Frenissa Lagman, menyuarakan rasa bangga dapat bergandingan dengan empat wanita berkenaan yang telah menunjukkan keberanian, kecekalan dan ketabahan, sekaligus mencerminkan semangat Kotex #SHECAN dengan cogan kata, “Haid atau Tidak, Dia Mampu.”

Kesemua mereka yang bakal menerima antara RM7,000 sehingga RM25,000, seorang, dipilih antara lebih 240 penyertaan dari seluruh negara melalui satu usaha oleh Kotex yang dilancarkan, Oktober tahun lalu, dengan peruntukan RM100,000 sebagai pemangkin bagi wanita merealisasikan impian dan menginspirasi perubahan positif dalam kehidupan kaum wanita.

“Walaupun secara umumnya wanita di Malaysia lebih beruntung berbanding rakan-rakan mereka di negara lain, masih ramai yang tidak mampu mencapai impian mereka.

“Oleh itu, Kotex #SHECAN FUND menyediakan platform, sebagai sokongan dan motivasi bagi memastikan  mereka memiliki peluang yang sama,” katanya, melalui satu kenyataan media.

Pemilihan empat wanita itu menepati matlamat Kotex bagi menginspirasi lebih ramai wanita muda mencapai kejayaan di dalam pelbagai bidang yang kurang diwakili wanita, baik di dalam seni, pendidikan mahupun keusahawanan.

Selain menyelesaikan kebimbangan mengenai haid, kempen #SHECAN telah membawa perubahan dalam masyarakat di peringkat global dengan membantu wanita muda mencabar persepsi-persepsi yang ketinggalan zaman serta tanggapan salah mengenai haid.

Dengan menangkis stereotaip jantina, mereka mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki untuk merealisasikan cita-cita, sekaligus mengaspirasi wanita lain bahawa mereka juga mampu mencapai apa jua kejayaan yang diidamkan.

Sementara itu, seni seperti lukisan, installasi dan fotografi menjadi saluran buat Nawwar Shukriah menzahirkan emosinya, antaranya rintangan di zaman kanak-kanak yang bagaimanapun, memutikkan harapan bahawa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Oleh itu, dia bersyukur atas sokongan Kotex membiayai pameran solo pertamanya yang bertumpu mengenai persepsi terhadap isu kesihatan mental.

“Seorang individu yang mempunyai masalah kesihatan mental sering tidak tahu bagaimana hendak mencari harapan dan sesuatu perkara yang bermakna. Namun saya percaya seni merupakan satu saluran positif dalam mengharungi masalah itu,” katanya.

Berhijab, Aina Amirah pula memperlihatkan bagaimana kepercayaan dalam agama memberikannya kekuatan untuk menjadi penari tarian kontemporari profesional.

“Diskriminasi berdasarkan agama dan pakaian tidak sepatutnya berlaku,” katanya. “Saya berasa paling bahagia ketika saya menari! Saya ingin berkongsi keindahan tarian kontemporari dan menginspirasikan golongan muda yang tidak mempunyai keyakinan atau peluang untuk mengejar cita-cita mereka.

“Saya ingin meyakinkan mereka bahawa pentas dunia ini dimiliki mereka!”

Bagi Atikah, perhatiannya bertumpu pada kepayahan dan stigma berkaitan penyakit Hansen atau lebih dikenali sebagai kusta, yang menjejaskan penghidap, termasuk yang pernah dijangkit berikutan prasangka terhadap penyakit berkenaan walaupun ia sebenarnya boleh dirawat.

“Kerana adanya sokongan Kotex, saya dapat menggunakan dana ini untuk menerbitkan buku tentang penemuan saya,” katanya, merujuk hasil kajiannya di Kampung Sinar Baru, sebuah penempatan semula pesakit kusta di Kota Padawan, Sarawak.

“Supaya saya dapat menzahirkan susah payah dilalui beberapa bekas pesakit bagi menunjukkan bahawa setelah sembuh daripada penyakit itu, mereka masih dapat menjalani kehidupan normal dan menikmati kebahagiaan.”

Penerima paling muda, Nur Adzratull Iffa pula sanggup berkorban demi menyumbang semula kepada masyarakat.

“Jika anda mempunyai belas kasihan untuk memberikan bantuan tanpa kira masa dan tempat, anda telah pun berada selangkah di hadapan orang lain,” kata sukarelawan ini yang berhasrat menggunakan dana sumbangan Kotex untuk menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah bantuan khas di Jakarta melalui satu program sukarelawan, AIESEC Malaysia.

Bagi Lagman, kisah empat wanita ini hanyalah satu permulaan.

“Kami yakin bahawa wanita dicipta untuk melakukan perkara hebat dan kisah empat wanita ini hanya permulaan. Kami berharap untuk menginspirasi lebih ramai wanita di Malaysia. Kotex #SHECAN FUND merupakan peluang terbaik bagi setiap wanita berkongsi cita-cita yang bakal direalisasikan oleh barisan panel penghakiman kami,” tambahnya.

Jadi, adakah anda wanita yang dimaksudkan? Buat wanita yang berdepan cabaran bagi merealisasikan cita-cita murni anda, sila hantar entri dengan melayari SheCanFund.com